JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA IMIGRESEN DIDAKWA ROMPAK WARGA PAKISTAN

11/08/2025 11:43 AM

KUALA PILAH, 11 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang warga Pakistan di Rembau pada 11 Julai lepas.

Mohd Nazrul Md Yassin, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca ke atasnya.

Dia didakwa merompak telefon bimbit, pasport, wang tunai RM440 dan baki Touch 'n Go (TnG) eWallet berjumlah RM210 pada 6.10 petang di Kampung Miku Pindah, Rembau.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Yusna Khadijah Md Yusop tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Seksyen Kuala Pilah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan