JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merancang memasang empat lagi Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini bagi memantau tahap keradioaktifan di perairan negara.
Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata empat lokasi tersebut ialah Pulau Langkawi di Kedah, Pulau Perhentian, di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang dan Bintulu di Sarawak.
Beliau berkata, sistem itu merupakan teknologi yang direka untuk meningkatkan keupayaan negara mengesan dan bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman radiologi dalam sumber air.
“Sistem ini bukan sahaja dipasang di Malaysia, malah negara ASEAN lain juga mempunyai sistem serupa. Jadi, kita akan dapat pengesanan awal sekiranya terdapat bacaan radioaktif yang abnormal di mana-mana bahagian rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan mesyuarat tersebut berkata Jabatan Tenaga Atom Malaysia akan melancarkan GSWMS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Chang berkata GSWMS pertama di Malaysia dipasang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jun 2023.
Mesyuarat ASEANTOM 2025 dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) selaku Pengerusi ASEANTOM, bersempena Kepengerusian Malaysia di ASEAN tahun ini.
-- BERNAMA