KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ujian genomik kini mencetuskan revolusi rawatan pediatrik yang membolehkan doktor melangkaui diagnosis berasaskan simptom dan menggunakan maklumat tepat pada tahap gen untuk mengenal pasti serta menangani keadaan kompleks dan jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lazimnya sukar dikesan.
Pakar Perunding Genetik Klinikal Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) Profesor Dr Thong Meow Keong berkata kaedah itu membolehkan doktor meneliti DNA kanak-kanak secara langsung bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit, yang lazimnya mengambil masa bertahun-tahun melalui kaedah diagnostik tradisonal.
“Pendekatan itu jauh lebih tepat berbanding hanya bergantung kepada simptom, terutamanya apabila simptom tidak jelas, kerana ia membantu mempercepat proses mendapatkan jawapan, mengelakkan kesilapan diagnosis, dan membolehkan rawatan yang sesuai dimulakan lebih awal.
“Banyak penyakit jarang berlaku disebabkan oleh perubahan pada gen, seperti talasemia dan distrofi otot, yang sebelum ini didiagnosis menerusi simptom, ujian darah atau air kencing, dan kadangkala biopsi,” katanya kepada Bernama.
Namun, Dr Thong berkata cabaran utama dalam mendiagnosis gangguan genetik jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak khususnya di Malaysia ialah kos ujian yang tinggi, kekurangan pakar genetik, serta keperluan untuk menghantar sampel ke luar negara.
“Selain itu, ramai yang masih kurang arif tentang penyakit genetik jarang berlaku dan tiada program mencukupi bagi membantu keluarga untuk melalui proses berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata saringan awal bayi baru lahir membantu memberi hasil kesihatan jangka panjang yang lebih baik kepada kanak-kanak menghidap penyakit jarang berlaku kerana rawatan boleh dimulakan lebih awal sebaik penyakit dikesan.
Pengurus Kanan Perubatan Genomik SMC Dr Edward Eu Chee Yang berkata teknologi genomik menjadikan rawatan pediatrik lebih mudah diakses dan berkesan, dengan teknologi baharu seperti penjujukan generasi hadapan (NGS) yang menawarkan ujian genetik yang lebih pantas, murah dan tepat dalam mengesan pelbagai masalah genetik.
“Terdapat juga program komputer baharu yang membantu doktor memahami keputusan ujian dengan lebih mudah. Kemajuan ini menjadikan penggunaan ujian genomik lebih praktikal untuk kanak-kanak di hospital,” katanya.
Beliau berkata untuk simptom kompleks atau bertindih yang sukar didiagnosis secara klinikal, kaedah berkenaan boleh menyemak serentak pelbagai keadaan dan mengenal pasti puncanya walaupun doktor tidak pasti sekali gus membantu keluarga menghindari ketidakpastian dan proses ujian yang mengambil masa bertahun-tahun.
“Ini bukan sahaja mempercepat proses diagnosis malah membolehkan rawatan lebih bersasar diberikan, meningkatkan peluang hasil rawatan yang lebih baik untuk kanak-kanak,” katanya.
Sehubungan dengan itu, SMC melaksanakan inisiatif penting memacu kemajuan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dengan melancarkan Perkhidmatan Perubatan Genomik di Jabatan Saringan Kesihatan yang baru dibuka bagi memenuhi keperluan pesakit tempatan dan antarabangsa.
Pada majlis pelancaran Perkhidmatan Perubatan Genomik SMC, Pengarah Urusan Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan Sunway Healthcare Group Dr Khoo Chow Huat menyentuh mengenai komitmen hospital terhadap penjagaan kesihatan yang proaktif.
“Matlamat kami bukan sekadar merawat penyakit tetapi juga menjadi peneraju. Pelancaran perkhidmatan itu mencerminkan visi masa hadapan kami dalam penjagaan kesihatan mengikut keperluan dan risiko setiap pesakit, bukannya pendekatan yang sama untuk semua.
“Selain memberi perkhidmatan kepada pesakit, perkhidmatan genomik itu turut direka untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia, dan hospital komited menjadikan ujian genomik lebih mudah diakses oleh lebih banyak rakyat Malaysia,” katanya.
Dengan pelancaran perkhidmatan itu di jabatan pemeriksaan kesihatan hospital berkenaan, SMC mengukuhkan lagi peranan sebagai perintis penjagaan kesihatan, komited mengintegrasikan teknologi diagnostik inovatif ke dalam rawatan pesakit.
Perkhidmatan itu kini dibuka kepada orang ramai dan boleh diakses melalui perundingan secara fizikal atau maya sama ada melalui rujukan atau tanpa rujukan doktor.
Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway, hospital kuaterner swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 810 katil berlesen, menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk kemudahan canggih, rawatan kepakaran, program kesihatan, serta perkhidmatan kecemasan 24 jam, dengan lebih 3,800 profesional kesihatan dan hospitaliti.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)