AM

LEBIH 2,300 INSIDEN ROADKILL MELIBATKAN HIDUPAN LIAR DIREKODKAN - NRES

12/08/2025 03:15 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Lebih 2,300 insiden roadkill melibatkan hidupan liar direkodkan di negara ini bagi tempoh 2020 hingga 2024, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES).

NRES dalam kenyataan memaklumkan pihaknya melalui Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia memandang serius peningkatan drastik insiden roadkill yang melibatkan hidupan liar di negara ini.

“Rekod PERHILITAN menunjukkan lebih 2,300 insiden roadkill telah berlaku dari 2020 hingga 2024.

“Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan dikenal pasti sebagai satu daripada jalan raya yang mencatatkan insiden roadkill tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, satu Sesi Meja Bulat Peringkat Tertinggi mengenai tindakan segera penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat untuk manusia dan hidupan liar di JRTB telah diadakan pada 17 Julai lepas.

Menerusi sesi itu, beberapa langkah jangka pendek telah dikenal pasti, termasuk mengukuhkan perundangan, pemasangan papan tanda mesra alam, meningkatkan kesedaran pemandu, dan menggalakkan amalan pemanduan berhemah.

“Penyelesaian jangka pertengahan dan jangka panjang pula termasuk termasuk pengayaan habitat, meningkatkan ketersambungan hutan dan memelihara lintasan hidupan liar sedia ada,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan pelaksanaan langkah-langkah ini diharapkan dapat diperkukuhkan dan dilaksanakan secara proaktif lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Gajah Sedunia (World Elephant Day - WED) pada 12 Ogos setiap tahun.

“Aspirasi WED bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesies gajah serta ancaman yang dihadapi. Ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (National Elephant Conservation Action Plan – NECAP 2.0),” menurut NRES.

Bersempena WED 2025, WWF-Malaysia memeterai Surat Perjanjian dengan EMPTA untuk bekerjasama dalam inisiatif yang menggalakkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan roadkill hidupan liar.

“Kerjasama ini melibatkan syarikat pengangkutan, penyedia perkhidmatan logistik, dan pihak berkepentingan lain untuk mempromosikan amalan pemanduan selamat di zon ekologi,” menurut NRES.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan