JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH PERSEKUTUAN DENGAR RAYUAN 50 PESARA ATM, 6 NOV INI

12/08/2025 05:38 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Nov ini untuk mendengar permohonan 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pelarasan pencen.

Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili kumpulan pesara tersebut, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Husna Dzulkifly, ketika pengurusan kes yang bermula pada 4 Ogos lepas dan berakhir hari ini menerusi e-Review.

“Prosiding pendengaran akan dijalankan secara maya melalui aplikasi Zoom,” katanya sambil memaklumkan bahawa pengurusan kes akhir ditetapkan pada 25 Okt bagi memaklumkan status kertas kausa dan pemfailan hujahan bertulis.

Pada 4 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013  berhak mendapat pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang dinikmati pesara selepas tarikh tersebut.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan dan Majlis ATM selaku responden, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa pesara ATM gagal membuktikan pihak responden melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, pada 3 Julai lepas, kumpulan pesara berkenaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu, dengan membangkitkan dua persoalan undang-undang berhubung isu pelarasan pencen untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Seramai 50 anggota ATM pelbagai pangkat, termasuk mejar, leftenan, sarjan staf dan prebet, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2022 bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Mereka mendakwa kegagalan itu telah menyebabkan wujud jurang ketara jumlah pencen antara pesara ATM yang bersara sebelum dan selepas tarikh tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan