KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan lima tonggak dalam Rangka Kerja Negara Kecerdasan Buatan (AI) untuk memastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia.
Beliau berkata lima tonggak itu ialah dasar berpandangan ke hadapan; tenaga kerja yang dinamik dan celik digital; infrastruktur digital yang selamat dan dipercayai; pemerkasaan kepercayaan digital dan pelaburan strategik yang akan membangunkan ekosistem AI yang berdaya maju melalui perkongsian awam–swasta dan kerjasama global.
“Tonggak ini akan memacu Ekonomi MADANI, menjadikan AI lebih maju, inklusif, dipercayai dan dirangka untuk memenuhi keperluan tertentu. Ia bukan sekadar pelan hala tuju; ia adalah satu gerakan.
“Kementerian Digital, dengan Pejabat AI Kebangsaan menjadi terasnya, akan menerajui inisiatif ini,” kata beliau dalam ucaptama pada majlis pelancaran rasmi Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS25) hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan baru-baru ini, Malaysia menyasarkan untuk menjadi sebuah negara AI berikutan transformasi digital perlu memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Dalam transformasi itu merupakan matlamat kita untuk menjadi sebuah Negara AI. AI tidak akan menjadi instrumen untuk kumpulan tertentu, ia akan menjadi pemacu untuk semua, memperkukuh tadbir urus, menggalakkan inovasi dan meningkatkan kualiti hidup.
“Melalui Rangka Kerja Negara AI kita, kerajaan akan memastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia di seluruh negara,” kata beliau.
Sementara itu, beliau berkata dengan hampir 700 juta penduduk, ekonomi digital yang berkembang pesat serta kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa, ASEAN mempunyai kelebihan untuk membentuk pembangunan AI secara inklusif, beretika dan selaras dengan nilai bersama rantau ini.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan bagi rantau ini untuk tegas dalam tindakan dan berpandangan jauh dalam merebut peluang penting ini.
“Jika kita melihat detik ini dengan pandangan jauh dan berani, AI dapat merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan perniagaan kecil, memartabatkan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam dan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan keadilan yang lebih menyeluruh untuk semua.
“Visi kita bukan sahaja untuk memanfaatkan AI bagi seiring dengan negara lain, malah untuk menerajui dalam beberapa bidang, untuk melindungi nilai-nilai kita, memberi makna kepada prinsip kesaksamaan dan keadilan,” kata beliau.
Dari aspek Malaysia, beliau berkata negara telah mengambil langkah berani dan yakin dalam pendigitalan dan AI, melalui penubuhan Kementerian Digital yang merupakan satu langkah besar ke hadapan.
-- BERNAMA