PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- MIMOS Services Sdn Bhd (MSSB), cabang komersial MIMOS Bhd akan menerajui beberapa siri inisiatif strategik yang bertujuan memajukan sektor semikonduktor dan teknologi tinggi di Bangladesh.
Inisiatif ini adalah susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini dengan Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia (BMCCI) untuk memajukan pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan kerjasama penyelidikan dalam sektor semikonduktor.
Dalam kenyataan hari ini, MSSB berkata pakatan strategik ini adalah langkah penting dalam memperdalam hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara serta mewujudkan asas kukuh bagi kerjasama masa depan dalam teknologi baharu dan berimpak tinggi yang lain.
“Ini termasuk pembangunan program latihan khusus untuk bakat dari Bangladesh dalam bidang reka bentuk litar bersepadu, teknologi semikonduktor, sistem terbenam dan kejuruteraan ujian produk.
“Ia juga membantu memudahkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik antara Malaysia dan Bangladesh serta memupuk perkongsian dengan syarikat Bangladesh tempatan untuk memperteguh keupayaan teknologi,” katanya.
MSSB berkata kerjasama ini juga akan memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan bakat dalam ekosistem semikonduktor yang sedang berkembang di Bangladesh bagi memastikan kesinambungan kepakaran dan inovasi.
Perkongsian strategik ini menyokong agenda nasional Malaysia untuk memperluas kehadiran industri elektrik dan elektronik Malaysia di peringkat global dan membuka peluang baharu untuk syarikat Malaysia meneroka peluang pelaburan di luar negara.
“Pada masa yang sama, ia dijangka menyumbang kepada visi Bangladesh untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan membangunkan tenaga kerja mahir dan memacu pertumbuhan industri,” katanya.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamad Fauzi Yahaya dan Presiden BMCCI Shabbir Khan di Bangunan Perdana Putra di sini, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.
-- BERNAMA