Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi pada hari Selasa, didorong oleh harga minyak mentah penanda aras yang stabil, sentimen pasaran juga dirangsang oleh keyakinan baharu terhadap penangguhan tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata seorang peniaga.
Menurut laporan, AS dan China telah melanjutkan penangguhan tarif selama 90 hari pada Isnin, meredakan ketegangan perdagangan dan meningkatkan sentimen pelabur di seluruh rantau.
Namun, keuntungan selanjutnya dihadkan oleh trend bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit lebih kukuh sedikit berbanding dolar US ketika peniaga meneliti laporan statistik getah asli (NR) dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
DOSM berkata pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada 25,679 tan metrik pada Jun 2025 berbanding 24,256 tan pada Mei 2025.
Bagaimanapun, pada asas tahun ke tahun, pengeluaran getah asli adalah 14.1 peratus lebih rendah berbanding 29,881 tan pada Jun 2024.
Eksport NR berjumlah 29,719 tan pada Jun 2025, turun 17.3 peratus berbanding angka Mei 2025 sebanyak 35,939 tan.
Peniaga itu berkata pemain pasaran beralih perhatian kepada laporan inflasi AS utama yang dijadual akan dikeluarkan lewat hari ini sebagai petunjuk kepada penepatan kadar dasar AS.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 0.5 sen kepada 736.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 3.5 sen kepada 577.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA