KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM129.35 juta untuk suku kedua berakhir pada 30 Jun 2025, susut berbanding RM145.07 juta dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, pendapatannya meningkat kepada RM211.40 juta pada suku kedua 2025 daripada RM175.57 juta yang disaksikan semasa tahun sebelum ini selepas disokong oleh sumbangan yang kukuh dalam segmen runcit termasuk perindustrian dan lain -lain.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT Management Sdn Bhd Ng Bee Lien berkata sumbangan mantap dari aset yang baru diperoleh dan usaha peningkatan aset aktif telah membolehkan REIT itu memberikan pertumbuhan yang baik.
"Walaupun segmen hotel dan pejabat mengalami kelemahan sementara disebabkan oleh faktor bermusim dan gangguan luaran, kami melihat adanya tanda-tanda awal untuk pemulihan terutamanya dalam segmen hospitaliti," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sunway REIT juga mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 5.68 sen seunit, yang mana 5.45 sen seunit dikenakan cukai dan 0.23 sen seunit dikecualikan cukai, untuk tempoh setengah tahun yang berakhir pada 30 Jun 2025.
Pada suku kedua 2025, segmen runcit Sunway REIT mengekalkan trajektori pertumbuhannya yang kukuh, dengan pendapatan meningkat sebanyak 29 peratus kepada RM160.0 juta berbanding RM123.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada aset runcit yang diperoleh pada 2024.
Ini seiring dengan kenaikan pendapatan dari Sunway Pyramid Mall berikutan pembukaan anjungan Oasis pada 1 November 2024 dan pembukaan semula anjungan sedia ada Sunway Carnival Mall pada 7 Mei 2025, kata Sunway REIT dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
"Akibatnya, pendapatan hartanah bersih (NPI) segmen tersebut melonjak 32 peratus kepada RM114.1 juta berbanding RM84.2 juta pada suku sebelumnya.
"Segmen runcit dijangka mengekalkan momentum menaik untuk suku akan datang, dipacu oleh penyempurnaan pengambilalihan aset AEON Mall Seri Manjung pada 25 Julai lepas," katanya.
Segmen Perindustrian dan lain-lain mencatatkan penambahan 100 peratus dalam pendapatan kepada RM4.5 juta menjelang suku kedua 2025, naik daripada RM2.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala NPI adalah lebih baik sebanyak 57 peratus kepada RM3.2 juta berbanding RM2.0 juta dari tahun ke tahun.
Sunway REIT berkata prestasi yang lebih baik ini telah didorong oleh sumbangan sewa daripada penyewa baharu di Sunway REIT Industrial - Petaling Jaya 1, bersama dengan penambahan daripada Sunway REIT Industrial - Prai berikutan pengambilalihannya pada 24 Oktober 2024.
-- BERNAMA