DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI BERIKUTAN JANGKAAN EKSPORT MENGUKUH

12/08/2025 10:03 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh jangkaan eksport yang lebih kukuh dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga minak sawit David Ng.

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan dihadkan oleh kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dalam tempoh terdekat.

“Kami melihat paras sokongan harga MSM pada RM4,350 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,480 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 dan September 2025 naik RM9 masing-masing kepada RM4,343 satu tan dan RM4,363 satu tan dan Oktober meningkat RM18 kepada RM4,402 satu tan.

Kontrak bagi November 2025 melonjak RM26 kepada RM4,430 satu tan metrik, Disember 2025 menambah RM29 kepada RM4,442 satu tan dan Januari 2026 meningkat RM34 kepada RM4,445 satu tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 120,621 lot daripada 83,281 lot semalam manakala kepentingan terbuka menambah kepada 232,784 kontrak daripada 227,408 kontrak.

Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan naik RM30 kepada RM4,380 setiap tan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan