SUKAN

TIGA BAKAT MUDA BOLA SEPAK TEMPATAN BERPELUANG BERLATIH BERSAMA TOTTENHAM HOTSPUR

13/08/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Tiga pemain bola sepak remaja tempatan berpeluang menjalani latihan di pusat latihan antara kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur di London.

Menerusi program Biasiswa Bakat DASHING, jenama penjagaan diri lelaki, ketiga-tiga pemain akan dipilih dalam kalangan 120 peserta berumur 15 hingga 18 tahun yang disenarai pendek untuk berlatih di satu daripada institusi pembangunan bola sepak berprestij dunia itu.

“Kami menyeru kepada bakat-bakat muda yang berminat untuk menghantar klip video berdurasi pendek, yang mempamerkan kemahiran mereka dalam permainan bola sepak.

“Klip video tersebut boleh dihantar ke akaun rasmi Instagram dan TikTok Biasiswa Bakat Dashing (@biasiswabakatdashing),” menurut DASHING dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, panel jurulatih berwibawa akan menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 120 pemain paling berpotensi untuk menghadiri kem identifikasi bakat di Arena Sukan Kuala Lumpur, di sini, Oktober ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan kem tersebut akan dikendalikan jurulatih pembangunan global Tottenham Hotspur yang menampilkan siri penilaian berstruktur, latihan intensif dan sesi pembangunan bakat bertujuan mengenal pasti pemain berpotensi untuk cemerlang di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan