KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Satu wakil Malaysia dalam acara beregu lelaki dijangka beraksi pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Perkembangan itu hadir apabila beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berkemungkinan bertemu rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pada separuh akhir sekiranya mereka berjaya melepasi halangan masing-masing.
Menerusi undian yang dikeluarkan hari ini, Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai pilihan kedua mendapat bye pada pusingan pertama dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga, dengan mereka bertemu rakan senegara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King atau pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh bagi slot ke suku akhir.
Sekiranya pemenang pingat gangsa dua kali Sukan Olimpik itu berjaya ke suku akhir, mereka berkemungkinan bertemu sama ada wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau beregu ranking keenam dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang.
Bagi Sze Fei-Nur Izzuddin yang turut mendapat bye dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir tetapi berdepan ujian getir sama ada menentang beregu ranking kelapan dunia dari Indonesia Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani atau gandingan ranking ke-11 dunia dari China Liu Yi-Chen Bo Yang untuk mara ke separuh akhir.
Sementara itu, dalam acara beregu wanita, juara Terbuka Thailand 2025 Pearly Tan-M Thinaah mendapat undian mudah apabila tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir.
Pilihan kedua itu mendapat bye pada pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada suku akhir dengan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara.
Dalam pada itu, bagi acara beregu campuran, pasangan utama negara Chen Tang Jie Toh Ee Wei yang turut menerima bye pada pusingan pertama akan berdepan cabaran hebat di pusingan kedua menentang pasangan ranking ke-11 dunia dari Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.
Dalam acara perseorangan lelaki pula, Leong Jun Hao akan membuka kempen bertemu pemain Switzerland Tobias Kuenzi pada pusingan pertama, manakala rakan senegara Lee Zii Jia akan turun menentang wakil Korea Selatan Jeon Hyeok Jin.
Bagi acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei dijadualkan bertemu Gao Fang Jie dari China manakala K Letshanaa akan berdepan pemain Hong Kong Saloni S Mehta pada pusingan pertama.
UNDIAN PUSINGAN PERTAMA MELIBATKAN WAKIL MALAYSIA PADA KEJOHANAN DUNIA BWF.
BEREGU LELAKI:
Man Wei Chong-Tee Kai Wun (Bye)
Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King vs Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura (JPN)
BEREGU WANITA:
Go Pei Kee-Teo Mei Xing (Bye)
BEREGU CAMPURAN:
Goh Soon Huat-Shevon Lai (Bye)
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (Bye)
-- BERNAMA