KOTA KINABALU, 13 Ogos (Bernama) -- Sabah FC hari ini mengumumkan pelantikan Jean-Paul de Marigny sebagai ketua jurulatih pasukan The Rhinos bagi saingan Liga Malaysia 2025/2026 berkuat kuasa serta-merta.
Sabah FC dalam kenyataan memaklumkan Jean-Paul dari Australia mempunyai pengalaman luas dalam Liga Australia bersama Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets dan Melbourne Victory, dengan pencapaian selaku Juara Liga pada musim 2014/15 dan 2017/18.
Jean-Paul juga pernah terlibat dengan pasukan kebangsaan Australia di pelbagai peringkat umur, termasuk menjadi penolong jurulatih kepada Brad Maloney bagi skuad bawah 17 tahun kebangsaan Australia baru-baru ini.
Pada musim 2024/2025, Sabah FC menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga dengan mengumpul 40 mata di bawah kendalian ketua jurulatih dari Slovakia Martin Stano.
-- BERNAMA