KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri pahit untuk ditelan selepas pasukannya dibolosi gol penyamaan pada lewat permainan walaupun menguasai babak kedua, kata Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC Risto Vidakovic.
Vidakovic berkata skuad The City Boys mempunyai kelebihan pada babak kedua dan mencipta beberapa peluang untuk mengesahkan kemenangan, namun dihukum oleh pelawat pada penghujung perlawanan.
“Keputusan seri, tetapi ini perasaan paling hampa apabila dibolosi gol, terutama selepas mengawal hampir keseluruhan babak kedua.
“Kami ada banyak peluang untuk menamatkan perlawanan tetapi itulah bola sepak, kadangkala kita perlu menerima hakikat, terus mengorak langkah dan bekerja keras,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam tadi.
Pengendali berusia 55 tahun yang mengambil alih KL City awal musim ini berkata keputusan seri berkenaan tidak menggambarkan prestasi sebenar pasukannya.
Beliau yang enggan menyalahkan mana-mana pemain berkata faktor keletihan dan tempoh pramusim yang singkat menjejaskan aksi pemain, serta berharap penyokong dapat bersabar memandangkan skuad itu masih dalam proses menyesuaikan diri kerana ramai pemain menyertai pasukan agak lewat.
Dalam perlawanan malam tadi, Sabah yang bermain buat kali pertama musim ini terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dean Pelekanos dilayangkan kad merah dua minit sebelum rehat kerana terjahan berbahaya.
KL City memanfaatkan kelebihan itu untuk membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri oleh pemain pertahanan Dane Ingham pada minit ke-65, namun Sabah bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua melalui tandukan pemain gantian Gabriel Peres.
KL City yang akan bertandang menentang Pulau Pinang FC pada 24 Ogos ini kini di tangga ketiga dengan empat mata, berkongsi mata dengan Terengganu di tempat kedua.
Juara bertahan Johor Darul Ta’zim pula mendahului carta dengan memperoleh enam mata.
-- BERNAMA