AM

40 WARGA UNIVERSITI AWAM BERKAYAK KE PULAU BIDONG SAMBIL KIBAR JALUR GEMILANG

14/08/2025 12:03 PM

KUALA NERUS, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 40 mahasiswa dan kakitangan universiti di Pantai Timur berkayak sejauh 22 kilometer ke Pulau Bidong di sini hari ini, sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi membangkitkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2025 itu menyaksikan peserta berkayak dari Pantai INOS UMT ke Pasir Tenggara, Pulau Bidong yang mengambil masa enam hingga lapan jam.

“Selain UMT, universiti yang terlibat adalah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Walaupun Pulau Bidong kelihatan hampir dengan kita (UMT) tetapi ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke sana dengan berkayak.

“Jadi ia menuntut kesabaran dan kegigihan. Itu yang kita ingin sampaikan sempena Hari Kebangsaan ini, bagaimana semangat dan perjuangan generasi yang terdahulu untuk meraih kemerdekaan dan keamanan yang kita rasai kini,” katanya kepada pemberita di Pantai INOS UMT di sini hari ini.

Mohd Izani berkata ekspedisi berkenaan juga diharapkan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menghayati semangat kemerdekaan dan seterusnya berusaha mengekalkan kesejahteraan yang dimiliki kini.

Beliau berkata program itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa dan komuniti terhadap kelestarian alam sekitar itu dengan kali terakhir dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan beberapa tahun lepas dan pihaknya merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

Mohd Izani berkata para peserta yang menaiki 20 kayak diiringi lima bot pengiring daripada Pusat Latihan Pelayaran UMT, Pusat Kesihatan UMT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan mereka yang terlibat telah mengikuti latihan asas berkayak dikendalikan UMT. 

Seorang peserta, Nur Muhammad Aqil Nazri, 22, berkata program berkenaan menunjukkan semangat perpaduan antara universiti awam dalam meraikan Hari Kebangsaan.

“Ia menjadi bukti kami sebagai anak muda yang bersolidariti dalam menunjukkan rasa cinta kepada tanah air,” kata mahasiswa tahun kedua Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin di UMT itu.

Mahasiswa tahun ketiga Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK Nur Ileeya Mysara Kamal Bashah, 22, berkata meskipun ini merupakan pengalaman pertamanya berkayak jarak jauh, namun beliau tetap bersemangat untuk menjayakan ekspedisi ini.

“Saya harap tahun depan program ini akan dilaksanakan lagi dan saya bersama tiga rakan yang hadir hari ini ingin menyertainya sekali lagi,” katanya yang berasal dari Selangor.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan