KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serangan terhadap anak kepada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, semalam.
Beliau berkata siasatan itu merangkumi semua kemungkinan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga pihak berkuasa mengeluarkan maklumat rasmi.
“Saya lihat pihak polis akan melakukan siasatan untuk mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku dan mungkin terlalu awal untuk saya memberikan komen, tetapi kita serah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan yang menyeluruh.
“Saya tidak fikir seseorang seperti Rafizi akan berdiam diri dengan perkara seperti ini (kerana) beliau pernah dihadapkan ke mahkamah dan memang beliau sangat biasa dengan tekanan, lagi ditekan, lagi melawan, jadi saya tidak rasa beliau akan berdiam diri, itu bukan Rafizi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mercu tanda Kampung Kerinchi di persimpangan KL Gateway hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada insiden serangan terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam bermotifkan politik.
Menjelas lanjut, Fahmi berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan kepada kepimpinan PKR dan anggota Jemaah Menteri bahawa beberapa tindakan susulan akan dilaksanakan, termasuk penambahbaikan aspek keselamatan.
“Setakat semalam, ada kemas kini mengenai keadaan anak YB Rafizi, namun pagi ini saya belum terima maklumat terkini, (tetapi) yang pasti, Menteri Dalam Negeri telah memberikan jaminan bahawa aspek keselamatan bagi Rafizi dan keluarga akan dipertingkatkan,” katanya.
Fahmi dalam pada itu, mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah yang berlaku dan berharap agar pelaku dapat segera diberkas dan dibawa ke mahkamah.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang ketika mangsa, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan bersama dengan ibunya dan pemandu mereka.
-- BERNAMA