AM

PASUKAN GYNAE-ONKOLOGI HOSZA BERJAYA LAKUKAN PEMBEDAHAN PESAKIT KORIOKARSINOMA

14/08/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pasukan Bahagian Gynae-Onkologi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) Terengganu buat julung-julung kalinya berjaya menyempurnakan pembedahan “Total Laparoscopic Hysterectomy with Bilateral Salpingo-Oophorectomy” bagi pesakit yang didiagnosis koriokarsinoma.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembedahan kompleks itu diketuai oleh Pakar Gynae-Onkologi Dr Alik Riasadesa Zakaria, bersama Ketua Jabatan O&G Dr Ramli Ibrahim dan disokong oleh pasukan perubatan, jururawat, dan Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Intensif.

“Dengan teknik pembedahan invasif minimum, pesakit kini berpeluang pulih lebih cepat, kurang risiko komplikasi, dan kembali kepada kehidupan normal dengan kualiti hidup yang lebih baik walaupun untuk kes kanser yang kompleks dan mencabar,” katanya di Facebook hari ini.

Kejayaan itu membuktikan hospital awam di negara ini mampu menawarkan rawatan berteknologi tinggi bertaraf dunia, melalui pakar-pakar yang hebat dan berkemahiran tinggi untuk kesejahteraan serta kesihatan rakyat Malaysia.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan HoSZA! Anda semua sumber inspirasi negara,” katanya.

Koriokarsinoma ialah kanser yang terjadi ketika sel-sel plasenta tumbuh secara abnormal dalam rahim, ia boleh berlaku selepas keguguran dan pengguguran kehamilan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan