EKONOMI

KWSP CATAT JUMLAH PENDAPATAN PELABURAN RM38.92 BILION BAGI SEPARUH PERTAMA 2025

14/08/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, meningkat 3.0 peratus berbanding RM37.90 bilion dalam tempoh yang sama pada 2024.

Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM0.44 bilion yang belum direalisasikan, terutamanya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2025 adalah sebanyak RM20.61 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM16.91 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan, dengan peningkatan pendapatan bagi separuh tahun pertama berikutan pemulihan pasaran yang stabil, prestasi domestik yang kukuh, dan pengurusan portfolio yang berdisiplin.

"Peningkatan dalam caruman dan pendapatan ini menyumbang kepada kenaikan 5.0 peratus bagi jumlah aset pelaburan.

"Penekanan kami terhadap aset berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor domestik utama, di samping pengagihan aset yang berdisiplin dan strategi penyepaduan ESG membolehkan kami mengambil peluang serta mengurus risiko dalam persekitaran global yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan, KWSP kekal peka terhadap risiko penurunan berikutan perdagangan global yang perlahan, dasar perdagangan yang tidak menentu, peningkatan tekanan inflasi, dan perubahan geopolitik.

"Strategi kami dilaksanakan melalui langkah proaktif yang berwaspada serta pengurusan berhemah, dengan memberi tumpuan kepada daya tahan jangka panjang bagi melindungi simpanan persaraan ahli daripada cabaran luaran ini,” kata Ahmad Zulqarnain.

Sementara itu, sepanjang suku yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35 peratus berbanding RM10.23 bilion pada suku kedua 2024.

Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global memberi peluang kepada pengurus dana KWSP untuk menjana keuntungan dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.

Ekuiti menyumbang 67 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini.

Instrumen pendapatan tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.73 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini.

Kelas aset ini, yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, terus memberikan pulangan yang stabil dan membantu mengurangkan kesan turun naik dalam pasaran ekuiti.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.29 bilion pada suku kedua 2025.

Selaras dengan pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP bagi kelas aset ini, pergerakan mata wang mempunyai kesan minimum terhadap pulangan sebenar dalam tempoh masa tertentu.

Kesan serupa turut dialami instrumen pasaran wang, yang sebahagian besarnya didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, turut terjejas daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2025, dan menyebabkan kerugian sebanyak RM0.18 bilion selepas pertukaran mata wang, kata KWSP.

Daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku kedua 2025, sebanyak RM17.39 bilion dijana untuk simpanan konvensional dan RM3.22 bilion untuk simpanan shariah.

Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset pelaburan berjumlah RM1.31 trilion, meningkat 8.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, dengan peningkatan ini sebahagiannya mencerminkan penilaian yang lebih baik dalam pasaran ekuiti global.

Sepanjang suku kedua 2025, pelaburan antarabangsa telah menjana sebanyak RM12.92 bilion atau 63 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan

Selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan negara, KWSP terus memberi tumpuan kepada pelaburan domestik, menyokong sektor-sektor penting untuk pertumbuhan jangka panjang Malaysia di bawah agenda Ekonomi MADANI

Dalam inisiatif GEAR-uP, KWSP memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan warga emas, serta infrastruktur, katanya.

Sementara itu, ia berkata pasaran tenaga buruh di Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh dasar kerajaan yang kukuh, kestabilan makroekonomi dan pelaburan modal insan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pula, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 3.0 peratus pada Jun 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Sepanjang separuh pertama 2025, KWSP mendaftarkan 286,194 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli kepada 16.4 juta orang. Daripada jumlah ini, 8.98 juta adalah ahli aktif, mewakili 51.5 peratus daripada 17.43 juta tenaga buruh setakat Jun 2025.

Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 pada separuh pertama 2025.

Pendaftaran majikan baharu mencapai 37,402, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 619,662 setakat Jun 2025.

Dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 13.8 peratus kepada RM31.21 bilion, berbanding RM27.42 bilion pada suku kedua 2024.

Jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 55 peratus kepada RM11.68 bilion pada separuh pertama 2025, berbanding RM7.55 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam enam bulan pertama, bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah seramai 34,442, berbanding 19,591 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Bagi beberapa bulan ke hadapan, KWSP akan mempertingkatkan libat urus dengan majikan dan pihak berkepentingan utama untuk memastikan pelaksanaan caruman mandatori kepada pekerja bukan warganegara Malaysia berjalan lancar.

"Dasar ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh perlindungan sosial dan memupuk kesaksamaan dalam pasaran tenaga kerja," katanya.

KWSP kekal komited untuk memastikan peralihan yang lancar dan pematuhan sepenuhnya apabila peluasan liputan ini berkuat kuasa bermula gaji Oktober 2025, iaitu bagi bulan caruman November 2025.

Ia turut menegaskan bahawa cadangan penstrukturan semula akaun simpanan persaraan, seperti yang diumumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, bertujuan untuk membantu simpanan ahli bertahan lebih lama semasa persaraan dengan aliran pendapatan yang stabil, tanpa sebarang perubahan kepada hak pengeluaran sedia ada serta pilihan secara sukarela bagi ahli semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan