AM

KUALA LUMPUR SPEAKERS’ CLUB RAIKAN 10 AHLI BAHARU

14/08/2025 06:57 PM

PETALING JAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur Speakers’ Club hari ini meraikan 10 ahli baharu yang digelar Vibrant Voices 2025, yang telah berjaya menamatkan program pengucapan awam intensif selama 10 minggu.

Presidennya Tan Sri Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar berkata kumpulan berkenaan telah mengharungi pelbagai cabaran termasuk keluar dari zon selesa, menghadiri sesi mingguan, menyiapkan tugasan serta bergilir-gilir mengendalikan kelas sebagai sebahagian daripada latihan sebelum diterima secara rasmi sebagai ahli kelab.

“Ahli yang menyertai kelab ini perlu memiliki kemahiran pengucapan awam kerana itu teras utama kelab. Mereka juga perlu dicalonkan dan disokong oleh ahli sedia ada, melalui sesi temu duga bersama jawatankuasa, dan hanya selepas menamatkan kursus, barulah diterima sebagai ahli,” katanya pada Majlis Graduasi ke-61 kelab itu di sini hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang disifatkan Tunku Dara Naquiah sebagai ikon negara dan sumber inspirasi melalui pencapaian beliau dalam bidang muzik, perniagaan dan kemanusiaan. Siti Nurhaliza kemudiannya menyampaikan sijil kepada para graduan.

Sementara itu, Tunku Dara Naquiah turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar sukarela Dr Baljit Kaur atas dedikasi beliau melaksanakan kursus berkenaan.

“Bukan mudah memastikan setiap perkara berjalan lancar, namun beliau melakukannya secara sukarela. Ramai tidak tahu bahawa kursus pengucapan awam ini diadakan sekali setahun sebagai usaha pengambilan ahli baharu Kuala Lumpur Speakers’ Club,” katanya.

Ditubuhkan pada 1970 oleh sekumpulan wanita yang pernah mengikuti kursus pengucapan awam anjuran Allahyarham Begum Shaikh, isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia ketika itu, Kuala Lumpur Speakers’ Club kini menjadi platform penting bagi wanita meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk semangat kebersamaan.

-- BERNAMA

 

TAG: Kuala Lumpur Speakers’ Club, majlis graduasi, Siti Nurhaliza, pengucapan awam, Vibrant Voices 2025

 


PNZ PNW ZUZ

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan