AM

DEKLARASI KL AKAN DIBENTANG PADA SIDANG KEMUNCAK PEMIMPIN ASEAN KE-47 - NGA

14/08/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Deklarasi Mampan Kuala Lumpur mengenai Pelaksanaan Peringkat Tempatan Visi Komuniti ASEAN 2045 akan dibentang pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 Oktober ini sebagai input rasmi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga, yang juga Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA), berkata deklarasi itu menghantar mesej yang jelas dan mendesak bahawa kepimpinan perbandaran adalah penting manakala suara komuniti tempatan merupakan teras dalam membentuk masa depan ASEAN. 

“Pencapaian ini bukan sekadar persetujuan di atas kertas, ia merupakan janji kepada kerjasama serantau yang lebih kukuh dan tekad bersama untuk membina bandar yang berdaya tahan, mampan serta berpaksikan rakyat.

“Sebagai Presiden UNHA, saya mengambil maklum keperluan untuk tindakan di peringkat akar umbi. Saya menyeru agar tindakan yang membina dan inovatif diambil bagi memastikan bandar serta negara anggota bekerjasama untuk merealisasikan Visi ASEAN 2045,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan bersama Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu dan dihadiri lebih 9,000 peserta dari seluruh ASEAN serta luar rantau ini, membincangkan cabaran mendesak berkaitan isu perbandaran seperti perubahan iklim, kemampuan memiliki rumah dan peluasan bandar yang tidak terkawal.

Selain deklarasi itu, Nga turut melancarkan ‘KL Call to Action for COP30’, yang disifatkannya sebagai “enjin utama”  bagi menggerakkan tindak balas bersama ASEAN terhadap isu perubahan iklim.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengintegrasikan Agenda Perbandaran Baharu ke dalam proses Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) supaya dasar alam sekitar dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan tempatan dan komuniti setempat.

Pada masa sama, ia akan mendorong Agenda Perbandaran Baharu diintegrasi sepenuhnya ke dalam proses UNFCCC sekali gus memastikan bahawa dasar alam sekitar dilaksanakan secara berkesan di peringkat tempatan.

Nga juga berkata ASUF telah mengesahkan penjajaran strategiknya dengan Strategi Perbandaran Mampan ASEAN (ASUS) dan Visi Komuniti ASEAN 2045 dengan Malaysia bakal melancarkan Pusat Pintar dan Mampan ASEAN yang akan diterajui Urbanice Malaysia bagi memacu projek berskala besar serta kerjasama antara bandar.

Beliau berkata AGMF pula telah menerima pakai komitmen bersama termasuk mempromosi penyertaan lebih besar kaum hawa dan golongan belia dalam tadbir urus perbandaran manakala MGMAC bersetuju mewujudkan sekretariat tetap di Jakarta, Indonesia.

“Antara komitmen utamanya ialah memformalkan Rangkaian Bandar MGMAC, memajukan Kajian Semula Tempatan Secara Sukarela dan gesaan bersama bagi pelaburan lebih besar di peringkat tempatan daripada institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata penubuhan sekretariat di Jakarta akan memantau serta melaporkan komitmen dan sokongan kepada Filipina selaku tuan rumah bagi persidangan ASEAN seterusnya.

Beliau berkata dengan sokongan penuh daripada Gabenor Jakarta Pramono Anung, sekretariat itu akan menghulurkan bantuan bagi menyelaras, berkongsi sumber dan menguruskan pelaksanaan projek di lapangan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan