AM

I-COMPEX SEMAKIN KOMPETITIF, PLATFORM TARIK MINAT GENERASI MUDA TERHADAP TEKNOLOGI

14/08/2025 07:47 PM

JITRA, 14 Ogos (Bernama) -- Program International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (i-CompEx) yang telah memasuki edisi ke-13 tahun ini cukup kompetitif dengan penyertaan yang semakin baik daripada institusi dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pertandingan dan pameran inovasi itu juga mampu menjadi platform bagi menarik minat orang ramai terutama golongan muda terhadap teknologi baharu serta inovasi.

“Saya dimaklumkan, kali ini memang para juri sukar untuk mendapatkan pemenang sebab saingan cukup kompetitif, jadi i-CompEx 2025 telah matang selepas 13 tahun diadakan.

“Maknanya, tahap kualiti penyertaan i-CompEx telah mencapai tahap yang agak baik berbanding pada awal pertandingan ini diperkenalkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan i-CompEx 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata penyertaan murid di peringkat sekolah rendah dan menengah di samping peserta yang mewakili pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dapat menggalakkan penghasilan inovasi yang boleh dimanfaatkan masyarakat di negara ini.

“Jadi saya fikir ini penting sebagai pencetus idea dan juga minat kepada rakyat kita terutama generasi muda yang kita perlu dedahkan mereka dengan teknologi baharu ini seawal sekolah rendah.

“Ini akan dapat menarik minat mereka untuk mengikuti bidang-bidang yang berkaitan dengan teknologi baharu termasuk AI (kecerdasan buatan) apabila masuk ke universiti nanti,” katanya.

Program i-CompEx 2025 merupakan anjuran bersama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melibatkan peserta dari luar negara termasuk Arab Saudi, China, United Kingdom, Thailand dan Indonesia.

Sebanyak 401 projek inovasi daripada pelbagai institusi dari dalam dan luar negara dipertandingkan pada i-CompEx kali ini yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan