AM

PESAWAT AIRASIA DILENCONGKAN KE GIMPO SUSULAN CUACA BURUK, BUKAN SALAH MENDARAT

14/08/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- AirAsia X (AAX) mengesahkan bahawa penerbangan D7506 dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 13 Ogos mendarat dengan selamat pada 10.54 malam selepas syarikat itu melakukan lencongan yang dirancang dan bukannya silap mendarat di lapangan terbang yang lain. 

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerbangan itu telah dilencongkan ke ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo pada awal petang untuk mengisi minyak berikutan kesesakan lalu lintas udara di Lapangan Terbang Incheon akibat cuaca buruk.

"Salah faham komunikasi berlaku ketika pengumuman kru kabin semasa mendarat, yang segera dijelaskan oleh kapten, mengesahkan lencongan ke Lapangan Terbang Gimpo dilakukan kerana cuaca buruk dan untuk mengisi minyak," menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat penerbangan itu, kapten berkenaan juga memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan tersebut serta meyakinkan mereka bahawa pendaratan di Gimpo adalah untuk mengisi minyak dan pesawat akan meneruskan perjalanan ke destinasi asal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata ia adalah situasi yang tidak dijangka disebabkan oleh cuaca buruk di Incheon.

"Berikutan potensi kelewatan dan risiko mendarat dengan bahan api kurang daripada keperluan, pesawat itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo demi keselamatan untuk mengisi minyak. 

"Setelah melengkapkan semua prosedur keselamatan, pesawat itu kemudiannya berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di mana penumpang akhirnya menuruni pesawat," jelasnya.

Beliau berkata AAX juga akan meneliti semula pengumuman dalamannya dan proses penyampaian maklumat di atas pesawat untuk memastikan penerangan yang lebih jelas dalam situasi sedemikian.

"AAX akan memberi baucar perjalanan dan akan menghubungi tetamu yang terjejas secara langsung," tambahnya.

Penjelasan itu dibuat selepas laporan berita di Korea Selatan hari ini mengenai penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Incheon silap mendarat di lapangan terbang yang lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan