AM

KPI SPRM 2026 FOKUS KEBERKESANAN PENCEGAHAN RASUAH

14/08/2025 09:03 PM

AYER KEROH, 14 Ogos (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang merangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2026 bakal memberi impak langsung kepada rakyat dan memacu keberkesanan pencegahan rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, penetapan KPI yang berkualiti ini adalah seiring dengan reformasi perkhidmatan awam untuk terus relevan, cekap dan berdaya saing dalam memenuhi harapan rakyat seperti yang dihasratkan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

"Penetapan KPI 2026 ini haruslah menyumbang kepada impak, pencapaian keberhasilan dan kecekapan agensi sejajar dengan hala tuju strategik SPRM,” katanya pada majlis perasmian penutupan Bengkel Penetapan KPI SPRM Tahun 2026 : Memacu Prestasi Berimpak di Hotel Kings Green, Melaka di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan KPI ditetapkan tidak harus terlalu mudah dicapai dan perlu mencerminkan tanggungjawab seorang Pengarah Bahagian atau Negeri selain perancangan kewangan tahunan seperti Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) dan Perancangan Belanjawan Tahunan (PBT) diselaraskan dengan KPI bagi memastikan keberhasilan di peringkat kementerian serta nasional.

Dato’ Indera Junipah berkata, pencapaian KPI juga akan dipantau melalui pelaporan suku tahunan, tahunan dan pelaporan kepada Ministry OBB Implementation Committee (MOIC), selain diaudit oleh Pasukan Audit Khas yang diselaraskan Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM. 

Beliau turut mengingatkan semua bahagian dan negeri untuk mengadakan mesyuarat Activity Performance Management Committee (APMC) seperti ditetapkan Kementerian Kewangan.

Bengkel kali ini turut memberi penekanan kepada syarat baharu penetapan KPI yang menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), meliputi lima Teras Keberhasilan Reformasi (TKR).

Sepanjang bengkel itu, turut diadakan pembentangan hasil naziran Jawatankuasa Audit Khas KPI oleh Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar yang memaklumkan masih terdapat ruang penambahbaikan berdasarkan dapatan audit pada Februari lalu.

Turut membuat pembentangan ialah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf, mengenai kaedah pemantauan keberhasilan KPI dan langkah penambahbaikan pematuhan pelaporan manakala Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Tuan Sukairi Samsudin, yang menjelaskan peranan perancangan kewangan tahunan dalam menyokong pencapaian KPI berimpak tinggi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Reformasi Sektor Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Puan Siti Nur Amini Mohd Amin turut memuji langkah proaktif SPRM menubuhkan Jawatankuasa Naziran KPI, Anugerah Pengurusan KPI Terbaik dan Desk Officer KPI Terbaik di peringkat SPRM sebagai inisiatif menggalakkan pencapaian KPI berimpak tinggi.

“SPRM merupakan agensi terawal dalam perkhidmatan awam yang menubuhkan jawatankuasa naziran KPI. Ini adalah contoh baik yang berpotensi dilaksanakan di setiap kementerian dan jabatan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Hazrul Shazreen Abd Yazid, dilantik sebagai Pengerusi Activity Performance Management Committee (APMC) 2026 selaras dengan arahan Kementerian Kewangan.

Turut hadir Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri serta pegawai KPI dari setiap bahagian dan negeri SPRM.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan