KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Secara keseluruhan, pengeluaran lateks tempatan masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan industri produk berasaskan lateks, terutama dalam penghasilan sarung tangan getah yang merupakan penyumbang utama kepada nilai eksport produk getah Malaysia.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjelaskan pada masa ini, pengeluaran lateks asli tempatan hanya memenuhi sekitar lima hingga 10 peratus sahaja keperluan industri, manakala selebihnya diimport dari negara pengeluar lain seperti Thailand dan Indonesia.
“Hal ini berlaku kerana majoriti pekebun kecil di Malaysia lebih menghasilkan cuplump (getah sekerap) berbanding lateks, yang memerlukan tugasan berganda dan infrastruktur pengumpulan yang lebih berdekatan,” tambahnya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini
KPK menjawab sedemikian bagi pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sejauh mana pengeluaran lateks tempatan dapat menampung keperluan penghasilan industri produk berasaskan lateks yang merupakan 75 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan produk berasaskan getah.
KPK memaklumkan pada 2024, negara hanya menghasilkan 19,274 tan lateks berbanding penggunaan tempatan berjumlah 215,413 tan.
“Malaysia mengimport sebanyak 220,282 tan lateks bernilai RM2.33 bilion sebagai bahan mentah utama bagi pengeluaran produk berasaskan lateks. Keperluan tahunan negara bagi lateks diunjurkan sekitar 215,000 hingga 250,000 tan,” katanya.
Sekiranya pengeluaran domestik terus merosot, jumlah import dijangka terus meningkat bagi menampung keperluan industri hiliran, jelasnya.
KPK menambah, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL+) di Kedah dan Perak bagi menggalakkan pekebun kecil beralih daripada getah sekerap kepada lateks, yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
Melalui IPL+, pekebun kecil menjual terus kepada kilang tanpa melalui peraih, sekali gus menjimatkan kos operasi di lapangan.
“Sehingga Jun 2025, sebanyak 221 tan lateks telah berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+ dan jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program kepada tiga lagi lokasi di Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA