DUNIA

BANK DUNIA LULUS BANTUAN KECEMASAN US$10 JUTA UNTUK CAPE VERDE

14/08/2025 11:07 PM

PRAIA (Cape Verde), 14 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Bank Dunia meluluskan bantuan kecemasan berjumlah US$10 juta bagi menyokong usaha Cape Verde menangani hujan lebat yang meragut lapan nyawa dan menyebabkan tiga lagi hilang, kata Perdana Menteri Cape Verde Ulisses Correia e Silva, lapor Xinhua.

Dalam hantaran di laman media sosial rasminya pada Rabu, Correia e Silva berkata bantuan itu diaktifkan di bawah program kerjasama yang bertujuan menyokong usaha kerajaan ke arah pemulihan ekonomi yang berdaya tahan dan saksama, dengan Bank Dunia membenarkan penyaluran segera dana tersebut.

Beliau berterima kasih kepada Kumpulan Bank Dunia atas “tindak balas pantas” terhadap permintaan Cape Verde serta “semangat solidariti yang tinggi” dalam menangani keperluan sosial dan infrastruktur mendesak bagi melindungi komuniti dan membina semula dengan lebih berdaya tahan.

Kerajaan Cape Verde telah mengisytiharkan darurat di pulau Sao Vicente, Santo Antao dan Sao Nicolau, yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang besar selain korban jiwa.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan