SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menyelesaikan bayaran bantuan sewa rumah sementara bagi tempoh tiga bulan kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata bayaran fasa kedua melibatkan tempoh Julai hingga September 2025 itu telah dikreditkan pada 6 Ogos lepas melibatkan 144 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan pembayaran berjumlah RM864,000.
“Penentuan senarai penerima dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling bersama Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa serta wakil komuniti setempat.
“Ia mengambil kira beberapa faktor seperti rumah yang telah siap dibaiki, mangsa merupakan penyewa (lama) telah berpindah atau tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Borhan berkata bantuan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa terpelihara sementara mereka mengurus penempatan semula atau pembaikan rumah.
Beliau berkata pelaksanaan bantuan sewa itu diharap dapat memberikan kelegaan sementara dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pemulihan kehidupan harian.
Dalam pada itu, bagi mangsa yang belum hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk membuat tuntutan semula bantuan sewa, Borhan berkata mereka perlu berbuat demikian bagi membolehkan semakan semula kelayakan dibuat dan bantuan disalurkan sekiranya layak.
Beliau berkata untuk rekod, bagi fasa pertama seramai 365 KIR telah menerima bantuan sewa rumah sementara melibatkan tempoh April hingga Jun lepas dengan peruntukan berjumlah RM2.19 juta.
-- BERNAMA