AM

PELUASAN SKIM ATM TINGKAT KUALITI SUMBER MANUSIA, GAJI PERMULAAN LEBIH TINGGI - PAT

15/08/2025 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menarik lebih ramai warganegara berkelulusan diploma menyertai pasukan keselamatan itu dengan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi, selain meningkatkan kualiti sumber manusia ATM.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa tujuh kelayakan masuk dan penetapan gaji permulaan akan diperincikan melalui surat pelaksanaan yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.

“Terdapat 21 kelayakan masuk yang dicadangkan namun hanya tujuh diluluskan. Alhamdulillah, kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) hari ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memperluas tujuh kelayakan masuk pelbagai bagi Skim Perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus), seperti Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju memperluas Insentif Berasaskan Prestasi (BIP) kepada anggota lain-lain pangkat iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5), dengan tempoh perkhidmatan yang melayakkan BIP dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun. Langkah ini memberi manfaat kepada 3,789 anggota dengan implikasi kewangan sebanyak RM6.47 juta setahun.

Mengulas mengenai BIP, Mohd Nizam berkata ia diberikan dalam bentuk insentif bulanan dengan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi pangkat yang disandang.

“Peluasan ini memberikan manfaat kepada Askar-Lasykar ATM dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang singkat (21 tahun) dan peluang kenaikan pangkat yang terhad,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata terdapat tiga cadangan penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ATM yang belum mendapat maklum balas, iaitu penggelaran semula gred ATM, penyelarasan gred JUSA C bagi pangkat Brigedier Jeneral setaraf berdasarkan tempoh sandangan pangkat, serta syarat pengukuhan pemberian elaun (Para 49) dan syarat umum kelayakan elaun, di samping pemanjangan inisiatif kemajuan kerjaya bagi ATM.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan