DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA MENINGKAT KEPADA PARAS 1,590 MINGGU DEPAN

16/08/2025 10:14 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka meningkat kepada paras rintangan 1,590 minggu depan, bergantung kepada sentimen risiko global yang menyokong serta kejelasan mengenai trajektori tarif semikonduktor, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata memandangkan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dijadualkan hujung minggu, pasaran ekuiti Malaysia akan menyerap sebarang kesan penilaian semula geopolitik apabila dagangan disambung minggu hadapan.

“Di peringkat domestik, naratif pelaburan akan dibentuk melalui pendedahan lanjut mengenai peruntukan projek Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Selain itu, menjelang Belanjawan 2026 -- yang kini kurang dua bulan lagi -- tumpuan akan terarah kepada sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebagai petunjuk awal kepada hala tuju dasar fiskal sebelum pembentangan oleh Perdana Menteri di Parlimen,” katanya kepada Bernama.

Mengenai inflasi, Mohd Sedek berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Julai, yang akan dikeluarkan pada Jumaat, 22 Ogos, akan menyediakan bacaan pertama berkaitan kesan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kami menjangkakan inflasi keseluruhan pada kadar 1.2 hingga 1.3 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada 1.1 peratus pada Jun, dengan inflasi teras dijangka kekal terkawal,” katanya.

Di peringkat global, Mohd Sedek berkata tumpuan pelabur dijangka terarah kepada minit Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada Rabu dan Simposium Jackson Hole pada 21 hingga 23 Ogos.

Beliau berkata kedua-duanya berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula jangkaan kadar dasar sekiranya naratif penting semakin memperoleh momentum.

“Isyarat awal daripada Washington semakin ketara sebelum Simposium Jackson Hole, dengan pentadbiran Trump mengambil pendekatan komunikasi yang lebih tegas berbanding pendekatan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang bersifat berhati-hati dan bergantung kepada data.

“Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, telah membuat gesaan supaya pengurangan sebanyak 50 mata asas ditingkatkan kepada pengurangan kumulatif sebanyak 150 mata asas, sekali gus menambah tekanan politik terhadap Fed.

“Perubahan ini, digabungkan dengan pertukaran pegawai di Biro Statistik Buruh dan pencalonan individu yang cenderung kepada kadar faedah rendah menganggotai Lembaga Rizab Persekutuan mencerminkan strategi bersepadu untuk mempengaruhi hala tuju dasar Pengerusi Fed, Jerome Powell,” katanya.

Mohd Sedek berkata sebarang perubahan bagi dasar yang lebih longgar akhirnya boleh dilaksanakan di peringkat domestik sebagai kejayaan politik dan makroekonomi, sekali gus mengukuhkan naratif pentadbiran tersebut mengenai pengaruh eksekutif terhadap normalisasi dasar monetari.

Berasaskan mingguan, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 19.36 mata kepada 1,576.34 pada Jumaat daripada 1,556.98 yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas menambah 129.27 mata kepada 11,731.06, Indeks FBMT 100 menokok 132.95 mata kepada 11,512.86, Indeks FBM Emas Syariah naik 20.67 mata kepada 11,654.85, Indeks FBM 70 meningkat 155.15 mata kepada 16,660.68, manakala Indeks FBM ACE menokok 106.57 mata kepada 4,713.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 499.25 mata kepada 18,080.07, Indeks Perladangan naik 77.91 mata kepada 7,504.03, dan Indeks Tenaga menambah 4.11 mata kepada 740.83.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 11.10 bilion unit bernilai RM11.87 bilion daripada 12.65 bilion unit bernilai RM11.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 7.16 bilion unit bernilai RM11.06 bilion daripada 7.66 bilion unit bernilai RM10.61 bilion.

Jumlah dagangan waran mencecah 3.37 bilion unit bernilai RM453.56 juta berbanding 3.62 bilion unit bernilai RM508.07 juta.

Jumlah dagangan mingguan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.64 bilion unit bernilai RM593.87 juta daripada 1.37 bilion unit bernilai RM529.84 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan