PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan berlangsung semalam, susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai langkah-langkah memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi di bawah kelolaannya.
KPM dalam kenyataan di laman media sosial rasminya memaklumkan, jawatankuasa itu ditubuhkan khusus untuk menangani isu-isu keselamatan yang timbul, selain merangka penyelesaian komprehensif demi menjamin kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.
“Dalam mesyuarat pertama itu, jawatankuasa telah menetapkan hala tuju serta pelan tindakan menyeluruh yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” menurut kenyataan tersebut.
Keanggotaan jawatankuasa merangkumi pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Antara yang dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia SUHAKAM Dr Farah Nini Dusuki, wakil UNICEF Azlina Kamal, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin, Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim, dan Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.
Turut serta ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik) KPJ Healthcare University Prof Dr Dayang Anita Abdul Aziz, Presiden Majlis Belia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Pengerusi ARUS Academy Alina Amir, wakil PIBKS Mohd Shaffik Mohd Kamil, Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Mohd Khalid Mohamed Latiff, serta pengamal perubatan dan pempengaruh kesihatan Dr Malar Santhi Santherasegapan.
Selain itu, wakil Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menganggotai jawatankuasa tersebut.
KPM menegaskan pihaknya komited memastikan usaha memperkasa aspek keselamatan di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan dengan berkesan.
-- BERNAMA