KLANG, 16 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan perlu dijadikan manifestasi untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dengan menzahirkan kecintaan terhadap negara menerusi simbol utama iaitu Jalur Gemilang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata meskipun negara mengalami beberapa insiden membabitkan pemasangan bendera terbalik baru-baru ini, rakyat diingatkan supaya tidak hilang fokus dan kekal dengan pengertian sebenar Jalur Gemilang yang melambangkan perpaduan.
“Jalur Gemilang ialah bendera kita bersama dan Hari Kebangsaan sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia. Kecintaan kepada negara perlu ada dalam kehidupan kita khususnya buat komuniti Pelabuhan Klang dan komuniti logistik.
“Kita harus bersama-sama mengangkat sektor logistik kerana tanpanya perdagangan tidak akan berlaku dan ekonomi boleh lumpuh kerana sektor logistik memainkan peranan cukup besar,” katanya ketika berucap pada Program Kibarkan Jalur Gemilang Komuniti Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Acara yang berlangsung di Bangunan Kelab Sosial dan Rekreasi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) itu menyaksikan Loke menyerahkan Jalur Gemilang kepada 100 pemandu kenderaan pengangkut barang (haulier) yang beroperasi di sekitar LPK.
Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan juga tidak terlepas memberikan perhatian kepada pembangunan Pelabuhan Klang dengan merangka pelbagai perancangan baharu termasuk pembukaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey dalam masa terdekat.
Beliau berkata usaha itu antara lain bertujuan memperkasakan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara pelabuhan tersibuk di dunia, sekali gus memanfaatkan komuniti setempat dan melonjak ekonomi negara.
“Sudah tentu Pelabuhan Klang dan komuniti di sini akan terus mendapat limpahan ekonomi yang cukup besar menerusi pelbagai projek serta menjadi peluang kepada pemain industri logistik terus menyumbang tenaga, idea dan berusaha menaikkan ekonomi negara.
“Oleh itu, saya harap kempen pada hari ini bukan sahaja menaikkan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi menaikkan semangat semua komuniti Klang supaya terus membangunkan Pelabuhan Klang,” katanya.
-- BERNAMA