AM

WANITA SARAWAK TERUS DIPERKASA MELALUI INISIATIF MARA

16/08/2025 03:35 PM

KAPIT, 16 Ogos (Bernama) -- Usahawan wanita Bumiputera di Sarawak terus diperkasa dengan pelbagai inisiatif keusahawanan termasuk kemudahan pembiayaan, ruang niaga dan program latihan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pada tahun ini sahaja MARA memperuntukkan RM33 juta kepada 1,156 usahawan di Sarawak, termasuk RM955,000 khas di bawah skim Dana NITA yang memberi manfaat kepada 26 usahawan wanita sehingga Julai lepas.

“Setakat Julai 2025, sebanyak 243 usahawan menerima pembiayaan berjumlah RM30.1 juta, termasuk 92 usahawan wanita dengan nilai RM6.8 juta.

“Hari ini sahaja, sembilan usahawan wanita Kapit menerima kemudahan pembiayaan daripada beberapa skim MARA bernilai keseluruhan RM377,700,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Bahagian Kapit 2025 di Dewan Suarah di sini hari ini.

Selain pembiayaan, MARA menyediakan 383 ruang niaga di Sarawak dengan pengisian sebanyak 96 peratus sehingga Julai 2025, melibatkan 158 usahawan wanita dengan jualan bernilai RM53.4 juta serta mewujudkan 1,045 peluang pekerjaan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata MARA juga melaksanakan program digitalisasi perniagaan dengan peruntukan RM1.2 juta menerusi program MERIT, BEST, DIGITALBIZ dan ADAPT, yang memberi manfaat kepada 398 usahawan dengan nilai geran RM875,000 setakat Julai lepas.

Rubiah berkata peranan wanita tidak lagi terhad di dapur sebaliknya kini penting dalam pembangunan ekonomi negara, selaras dengan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Komuniti MARA 2025-2030 yang merangkumi 17 inisiatif strategik termasuk latihan kemahiran, pembiayaan dan pemasaran digital.

“Wanita yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Justeru, saya berharap Program Pemerkasaan Wanita ini menjadi pemangkin untuk merakyatkan MARA serta membantu lebih ramai usahawan wanita Bumiputera di Sarawak,” katanya lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan