AM

KAMPUNG BATU BALAK TERIMA EMPAT PROJEK INFRASTRUKTUR MENERUSI KAMPUNG ANGKAT MADANI

16/08/2025 04:16 PM

JERANTUT, 16 Ogos (Bernama) -- Penduduk Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling di sini menarik nafas lega selepas beberapa infrastruktur di penempatan berkenaan dinaik taraf dan dibina baharu menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta. 

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata sebanyak empat projek telah dilaksanakan di kampung berkenaan iaitu menaik taraf Jambatan Sungai Kenerak dengan memasang susur tangan. 

Selain itu, beliau berkata kerja-kerja pembinaan satu telaga tiub berserta sistem penyaluran bekalan air dan menaik taraf Jalan Kampung Batu Balak sepanjang 6.9 kilometer serta pembinaan surau baharu di kampung itu turut dilaksanakan. 

“Setelah kita sampaikan semua kemudahan ini, penduduk bersatu dan berikan kerjasama kepada seluruh JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) untuk memajukan kampung ini. 

“Saya sayang kampung ini sebab ia adalah kampung angkat pertama saya dan kampung kedua selepas ini di Jeransang dekat Lipis,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling di sini hari ini. 

Projek berkenaan dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan agensi kerajaan tempatan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut serta Pejabat Pembangunan Negeri Pahang. 

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Batu Balak Mohd Johari Umar berkata lebih 100 penduduk yang mendiami kira-kira 40 rumah di kampung berkenaan menerima manfaat dengan terlaksananya projek menerusi inisiatif Kerajaan MADANI itu.

Beliau berkata kampung yang terletak di kawasan terpencil dan pedalaman itu menyebabkan penduduk berdepan dengan kekangan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air bersih sebelum ini, tetapi kini masalah itu telah diatasi. 

“Misalnya, pembinaan telaga tiub membolehkan penduduk mendapat bekalan air bersih berbanding sebelum ini, iaitu sumber air kami daripada air bukit. Kerja menaik taraf jalan juga telah memberi keselesaan bukan sahaja kepada penduduk di sini tetapi kampung berhampiran,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan