AM

KERAJAAN SEDIA TELITI UNDANG-UNDANG TANGANI ISU BULI - NANCY

16/08/2025 04:36 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan wajar meneliti keperluan menambah baik undang-undang sedia ada bagi menangani isu buli, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata meskipun perkara itu di luar bidang kuasa kementeriannya, pihaknya bersedia berbincang dengan kementerian berkaitan.

“Setakat ini mungkin belum ada keperluan menggubal, cuma kes buli mutakhir ini boleh memberi idea baharu untuk kita melihat penambahbaikan undang-undang, sekiranya perlu.

“Ia bukan di bawah kementerian, sebaliknya terletak di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama PPWS 2025 di sini, hari ini.

Nancy berkata perkara berkenaan juga akan dibincangkan bersama menteri lain dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau mengulas desakan Gerakan Gubal Akta Anti-Buli (GAB) yang mahu kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani gejala buli di semua peringkat.

Sebelum ini, Pengerusi Sekretariat GAB, Wan Azliana Wan Adnan dilapor berkata usaha menggubal akta itu sudah dimulakan sejak 2022, namun tiada perkembangan konkrit sehingga kini.

Bagaimanapun, Nancy menjelaskan buat masa ini tiada keperluan mewujudkan undang-undang baharu kerana kesalahan berkaitan buli sudah termaktub dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang turut meliputi kes buli siber.

Kedua-dua akta berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 dan Dewan Negara pada 16 Dis 2024.

Terdahulu, program anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) itu menghimpunkan 550 peserta dengan objektif memberi pendedahan mengenai fungsi agensi di bawah KPWKM untuk dimanfaatkan masyarakat negeri ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan