SUKAN

PIALA FA: SELANGOR SELANGKAH KE SUKU AKHIR

16/08/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) --  Selangor FC selangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Malaysian University Football Team (MUFT) 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.

Skuad Gergasi Merah hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan menerusi Muhammad Faisal Abdul Halim yang menyempurnakan hantaran Muhammad Aliff Izwan Yusof.

Pemain import Alvin Fortes menambah gol kedua pada minit ke-24 sebelum Faisal sekali lagi meledak untuk memastikan Selangor selesa mendahului 3-0 pada babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad kendalian Katsuhito Kinoshita terus menguasai permainan namun gagal menambah jaringan susulan ketahanan pertahanan MUFT.

Gol sagu hati MUFT hadir pada minit ke-82 menerusi Aiman Danial yang menewaskan Samuel Somerville, sekali gus menafikan kemenangan bersih Selangor FC.

Di Johor, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen dengan langkah bergaya selepas membelasah UM-Damansara United 5-0 pada aksi Pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim.

Aksi babak pertama tampak hambar dengan kedua-dua pasukan gagal mencari rentak, sebelum pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kaptennya Hariz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-38.

Kesempatan itu dimanfaatkan skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz apabila Jonathan Silva menanduk masuk hantaran Shahrul Saad pada minit ke-45 bagi membuka tirai jaringan.

Bersambung babak kedua, Silva sekali lagi menjadi pemusnah apabila meledak gol kedua pada minit ke-54. Rentetan itu, JDT semakin garang dengan Alberto Martin menambah jaringan pada minit ke-79, diikuti sepakan penalti Joao Figueiredo pada minit ke-90.

Selang seminit kemudian, Celso Bermedo melengkapkan pesta gol tuan rumah untuk memastikan kemenangan bergaya 5-0 kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, di Bandar Seri Begawan, pendatang baharu saingan, DPMM FC turut cemerlang apabila menewaskan Kuching City FC 3-2.

Gol tuan rumah dijaringkan Azwan Ali Rahman (6’), Miguel Oliveira (48’) dan Jordan Murray (79’), manakala Kuching City bangkit menerusi jaringan Ronald Ngah (43’) dan James Okwuosa (47’).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan