KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei atas pelantikannya sebagai Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau berkata kehadiran semula pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dalam badan induk itu sangat dinantikan sejak menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2022.
“Saya percaya Datuk Seri Lee Chong Wei mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton di Malaysia dan beliau tidak seharusnya sekadar berada di pinggiran BAM.
“Kehadiran beliau membantu kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG), saya amat hargai tetapi saya optimis apabila bekas atlet memimpin dalam persatuan sukan kebangsaan, ia pasti menyuntik semangat keterujaan, keyakinan dan ketepatan dalam keputusan serta dasar persatuan,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pelantikan Chong Wei sebagai seorang daripada ahli majlis baharu BAM, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam arena badminton negara selaras dengan visi BAM menjadikan Malaysia kuasa besar badminton dunia.
Selain Chong Wei, Tengku Zafrul berkata pihaknya turut bersetuju melantik tiga lagi tokoh korporat terkemuka iaitu Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTV7 Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media) dan Peguam Datuk Sunil Abraham (Perundangan) sebagai Ahli Majlis BAM.
-- BERNAMA