DUNIA

SABAH BINCANG DENGAN SCOOT PENERBANGAN TERUS SANDAKAN-SINGAPURA - JONISTON

16/08/2025 10:16 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan kerjasama Tourism Malaysia, sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah Scoot untuk melancarkan penerbangan terus Singapura-Sandakan dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong dari republik itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai, berkata penerbangan terus itu akan meningkatkan promosi Sabah dalam kalangan rakyat Singapura serta menarik pelancong antarabangsa lain melalui Lapangan Terbang Changi.

“Sabah bukan hanya tentang Gunung Kinabalu atau Sipadan, tetapi juga Sandakan - pintu masuk kepada alam semula jadi. Kita mempunyai pelbagai tarikan. Ramai rakyat Singapura menggemari alam semula jadi, dan tiada tempat lebih baik untuk dikunjungi selain Sandakan,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Sabah Fest 2025 - Edisi Singapura, di sini pada Sabtu.

Joniston berharap ejen pelancongan di Singapura dapat mempromosikan kepelbagaian tarikan Sabah, daripada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo hinggalah ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, melalui pakej percutian menarik.

Sehingga Mei tahun ini, katanya, lebih 13,000 rakyat Singapura melawat Sabah, dan beliau berharap angka itu akan terus meningkat selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).

“Tourism Malaysia Singapura dengan kerjasama Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura (STTOS), bersama agensi lain, sedang giat mempromosikan Sabah,” tambahnya.

Beliau turut berharap Scoot dan AirAsia dapat mempertimbangkan untuk menambah kekerapan penerbangan terus Singapura-Kota Kinabalu.

Joniston berkata Sabah Fest 2025 - Edisi Singapura yang berlangsung tiga hari di Marina Square mulai Jumaat dan dianjurkan STTOS, memberi peluang rakyat Singapura merasai budaya, pelancongan dan perdagangan Sabah menjelang sambutan penuh sebulan di negeri itu bulan depan.

Pada acara itu, Joniston turut melancarkan kempen “Stamp and Feel Sabah” - program mengumpulkan setem yang diperkenalkan STTOS bagi menggalakkan rakyat Singapura meneroka Sabah. Pelancong boleh mendapatkan buku kecil setem dari pejabat Tourism Malaysia Singapura, mengumpul setem dengan melawat tarikan disenaraikan, dan menebus ganjaran di pejabat STTOS selagi stok masih ada.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata Suruhanjaya Tinggi berbangga menyokong Sabah Fest 2025 kerana ia selaras dengan misinya mengukuhkan hubungan dua hala melalui pertukaran budaya, promosi pelancongan dan kerjasama ekonomi.

“Acara ini secara langsung menyokong kempen promosi VMY2026 dengan menonjolkan tarikan budaya dan alam semula jadi Sabah kepada khalayak Singapura,” katanya.

Sabah Fest 2025 - Edisi Singapura turut mempamerkan produk daripada Desa Dairy Farm, Jetsin Sdn Bhd, Kerupuk Lelek Enterprise Sdn Bhd, dan Origame, pengedar Singapura bagi My First Trip in Sabah -- permainan papan pertama bertemakan Sabah. Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta nyanyian oleh penyanyi Sabah, Dabra Sia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan