AM

PM ANWAR LUANG MASA LAWAT ADUN LINTANG

16/08/2025 10:16 PM

IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun yang baru selesai menjalani pembedahan baru-baru ini. 

Perdana Menteri yang mengadakan lawatan kerja ke Perak hari ini melawat Mohd Zolkafly di kediaman Exco berkenaan usai menyempurnakan perasmian pecah tanah projek pembangunan Ipoh Sentral petang tadi. 

"Sambil bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan beliau, kami turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang melibatkan rakyat dan pembangunan negeri," menurut Anwar dalam hantaran Facebook. 

Beliau turut mendoakan Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang itu diberikan kesembuhan. 

Terdahulu dalam lawatan kerja itu, Anwar turut merasmikan Karnival Tenusu MADANI di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak di Larut serta meninjau projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau, Larut Matang Selama (LMS) Fasa Dua, di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan