AM

PENTARAMA MERDEKA@HOHO WARNAI IBU KOTA DENGAN SEMANGAT PATRIOTISME

17/08/2025 09:34 AM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka sebuah bas dua tingkat berbumbung terbuka yang biasanya membawa pelancong mengelilingi ibu kota, diubah menjadi “pentas bergerak” bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Inilah keunikan yang ditampilkan melalui program PENTARAMA MERDEKA@HOHO, inisiatif unik hasil kolaborasi Jabatan Penerangan (JAPEN) bersama Elang Wah Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan pelancongan ikonik KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO).

Memasuki tahun kedua JAPEN berkolaborasi dengan KL HOHO, program tersebut bukan sekadar ulang siar acara tahun lepas, tetapi hadir dengan konsep yang lebih mantap dan berimpak tinggi.

Bernama turut berpeluang mengikuti jelajah program itu malam tadi, dengan menaiki bas KL HOHO yang dihias menjadi pentas bergerak membawa bersama seni, lagu, tarian serta Jalur Gemilang dan berhenti seketika di tiga kawasan tumpuan utama iaitu Sungei Wang, River of Life dan Pavilion KL.

Selain persembahan seni, pentas bergerak itu juga menyediakan aktiviti interaktif seperti kuiz kenegaraan, sekali gus menjadi medium penyampaian mesej kenegaraan dan dasar kerajaan secara santai tetapi berkesan. Jalur Gemilang turut diedarkan, menjadikan setiap hentian sebagai peluang untuk membangkitkan semangat rakyat.

Lebih menarik, keunikan program tersebut terletak pada keupayaannya menyampaikan mesej patriotisme di tengah-tengah kesibukan kota, tanpa perlu mengharapkan pengunjung hadir ke lokasi khusus sekali gus mencipta pengalaman baharu dan lebih inklusif buat warga kota dan pelancong.

R. Thinesh, 25, ketika ditemui di Sungei Wang berkata beliau tidak menyangka akan dihiburkan dengan persembahan patriotik di jalanan dan menyifatkan usaha itu sangat kreatif, mendekati rakyat secara langsung dan mencipta impak emosi yang lebih kuat berbanding penganjuran konvensional.

“Saya dengar dari jauh ada bunyi muzik, tapi tak pasti lagu apa. Kemudian saya nampak ada bas datang dengan hiasan bendera Malaysia lepas tu ada menyanyi lagu Merdeka dan menari. Bagi saya ini sangat menarik, sebab saya tak perlu pergi tempat lain (untuk tengok persembahan), benda ni (persembahan) datang kat saya,” katanya.

Pada masa sama, Mastura Ibrahim, 38, berkata beliau datang bersama suami dan tiga anaknya untuk meluangkan masa di sekitar River of Live sebelum ke Dataran Merdeka, namun ternampak bas yang dihias dengan Jalur Gemilang dan memasang lagu patriotik tiba-tiba berhenti di kawasan itu.

“Anak saya panggil saya cakap nak tengok. Jadi kami pun berhenti. Pada saya program ini sangat menarik sebab budak-budak ramai dekat sini jadi mereka suka. Saya harap program macam ni dapat bagi naik semangat orang ramai di bulan kebangsaan ini,” katanya.

Lokasi terakhir PENTARAMA MERDEKA@HOHO bagi tahun ini bertempat di Putrajaya pada 30 Ogos ini, bertepatan dengan lokasi rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan bas pentas itu akan membuat beberapa hentian utama termasuk Menara Usahawan, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Dataran Gemilang.

Untuk maklumat  lanjut berkenaan program dan aktiviti sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, boleh layari laman sosial dan portal rasmi HKHM 2025 di www.merdeka360.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan