AM

GIATMARA PASIR SALAK AKAN DIPINDAHKAN KE LOKASI BAHARU - TPM AHMAD ZAHID

17/08/2025 01:49 PM

PASIR SALAK, 17 Ogos (Bernama) -- Pusat GiatMARA Pasir Salak akan dipindahkan ke lokasi baharu di kawasan bengkel kejuruteraan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Ulu Dedap di sini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemindahan itu dibuat memandangkan pusat berkenaan kini masih menyewa di bangunan lama di Pulau Tiga, Kampung Gajah.

"Saya bersetuju untuk memindahkan GiatMARA Pasir Salak ke kawasan baharu dengan (menawarkan) kursus-kursus yang baik dan relevan mengikut permintaan pasaran termasuk kursus baik pulih mesin pertanian," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah Khairul Azwan Harun.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengusahakan peruntukan untuk pembinaan bangunan perniagaan komersial di Changkat Lada, Seberang Perak.

"Begitu juga ada permintaan pembinaan kompleks sukan, untuk permulaan saya bersetuju supaya padang bola berpagar dengan rumput sintetik akan saya usahakan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan