SUKAN

KHE WEI YAKIN PEARLY-THINAAH MAMPU RAIH PINGAT DI KEJOHANAN DUNIA

17/08/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Bekas pemain beregu wanita negara Woon Khe Wei yakin gandingan Pearly Tan-M Thinaah mampu membawa pulang pingat pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang akan berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Khe Wei berkata gandingan berkenaan yang kini menghuni ranking kedua dunia berjaya menampilkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan disertai tahun ini.

“Prestasi mereka tahun ini bagus dan agak konsisten. Gaya permainan juga menarik dan bagus. 

“Jadi, harapnya mereka dapat menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam acara beregu wanita,” kata Khe Wei selepas merasmikan akademi badminton beliau di Puchong, dekat sini hari ini.

Khe Wei turut mengingatkan pasangan itu supaya tidak terlalu yakin dengan lawan mereka selepas menerima undian mudah di kejohanan dunia itu.

Bagaimanapun beliau percaya pasangan tersebut sudah membuat persiapan mental mahupun fizikal bagi membawa pulang pingat untuk Malaysia.

Pada majlis undian Rabu lepas, Pearly-Thinaah mendapat undian mudah dan dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir.

Pilihan kedua itu menerima bye di pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir dengan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan