AM

SIRI ANIMASI NEGARA ANGKAT BUDAYA MALAYSIA KE MATA DUNIA

18/08/2025 11:51 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Industri animasi Malaysia terus mencipta sejarah antarabangsa apabila karya tempatan bukan sahaja menawan hati penonton dalam negara, malah berjaya menembusi pasaran global dengan reputasi membanggakan.

Siri animasi seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, BoBoiBoy dan Mechamato kini dikenali di ratusan negara sekali gus menjadi medium diplomasi budaya yang memperkenalkan identiti, nilai murni dan kehidupan masyarakat Malaysia kepada penonton antarabangsa.

Pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi berkata sejak awal beliau berhasrat menjadikan animasi terbitannya, Upin & Ipin sebagai wadah memperlihatkan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Prinsip utama kami dalam setiap karya yang dihasilkan adalah mempromosi budaya negara kita, mengetengahkan nilai-nilai murni dan menyelitkan pengajaran yang boleh diterima penonton. Selain itu, kami juga menyuntik nilai-nilai Islam di dalamnya tanpa menyatakan ia produk Islam.

"Kita betul-betul bawa 'Malaysia' dalam Upin & Ipin kerana kehidupan seharian kita unik, kita hidup dengan harmoni bersama kaum yang berbilang bangsa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Burhanuddin berkata keharmonian masyarakat berbilang kaum dan suasana kampung Malaysia yang dipaparkan dalam kisah animasi itu membuatkan masyarakat luar teruja dengan karya-karya terbitannya.

“Kami dapat lihat penonton luar negara teruja dengan persekitaran yang diketengahkan, seperti rumah kampung, kehidupan harian dan aktiviti seharian,” katanya siri animasi itu telah mencatat tontonan lebih 13 bilion kali di aplikasi YouTube.

Beliau berkata penerimaan masyarakat antarabangsa menunjukkan animasi tempatan mampu menjadi alat diplomasi budaya moden yang memupuk semangat kebangsaan sekali gus mengetengahkan negara di mata dunia.

“Kami sedar betapa besar tanggungjawab ini, sebab itu kami amat berhati-hati ketika membangunkan jalan cerita supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. Apa yang kami cuba tonjolkan adalah budaya kita, nilai kemanusiaan sejagat serta semangat patriotisme yang boleh diterima oleh semua penonton.

"Inilah bentuk diplomasi budaya yang ingin kami bawa menggunakan animasi sebagai jambatan untuk memperkenalkan Malaysia secara positif," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap Pengarah Ejen Ali The Movie 2, Muhammad Usamah Zaid Yasin berkata pihaknya berpegang pada prinsip menghasilkan penceritaan bermakna dan dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.

“Animasi bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia perlu menyampaikan mesej yang meninggalkan kesan, sambil menggambarkan siapa kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan elemen budaya tempatan disulam secara semula jadi dalam latar, lokasi dan suasana penceritaan, manakala konflik utama berteraskan nilai universal yang mudah difahami penonton antarabangsa.

Muhammad Usamah Zaid berkata sambutan masyarakat luar terhadap filem animasi Ejen Ali amat menggalakkan sehingga berjaya menembusi pasaran luar termasuk Indonesia dan India, serta dibawa ke World Expo di Osaka, Jepun.

"Kejayaan itu menunjukkan animasi boleh menjadi medium diplomasi budaya dan menyemai semangat patriotisme, sebagaimana Jepun menggunakan anime atau Korea menonjolkan K-pop,” katanya.

Beliau berkata bahasa Melayu kekal sebagai teras setiap produksi, walaupun perlu ada sari kata atau alih suara mengikut pasaran luar bagi mengekalkan identiti Malaysia.

“Impian saya tidak berhenti dengan Ejen Ali. Saya mahu animasi Malaysia terus diiktiraf di mata dunia sebagai karya berjiwa, unik, dan membanggakan negara,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan