KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dijangka dibentang di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2026, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata RUU itu kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Insya-Allah, sebaik sahaja RUU ini dimuktamadkan kita akan bentang di Dewan Rakyat. Cadangannya kalau tiada perubahan besar, kita akan bentang selepas pembentangan belanjawan, kemudian kita akan bahas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu sama ada kerajaan dapat memberi jaminan bahawa RUUPIN dapat dikuatkuasakan secepat mungkin memandangkan dasar berkaitan perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) masih kurang jelas.
Mengulas lanjut, Johari berkata sehingga kini, tiada sebarang aktiviti perlombongan berlaku dalam kawasan HSK di negara ini.
Bagi menilai kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan HSK, Johari berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersetuju supaya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melaksanakan kajian impak aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata kajian itu bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.
“Pelaksanaan kajian ini dirancang secara berfasa dalam tempoh lima tahun melibatkan fasa praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan. Komponen kajian meliputi enam aspek utama iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosioekonomi.
“Kajian ini turut melibatkan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia),” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang ingin tahu status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan REE di kawasan HSK serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan.
Johari berkata FRIM turut menjalankan kajian jangka pendek pada tahun lepas di kawasan ladang getah di Mukim Kenering, Perak yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap.
“Berdasarkan laporan kajian awalan tersebut, boleh dirumuskan aktiviti perlombongan REE hanya memberi impak negatif yang minimum sekiranya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pengumpulan data ulangan bagi 2025 sedang dilaksanakan bagi membandingkan dapatan awalan dan terkini. Aktiviti ini dijangka selesai pada September 2025 bagi tujuan pelaporan pada Oktober 2025,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, FRIM masih perlu menilai impak perlombongan di kawasan hutan asli sebelum merumuskan kajian secara keseluruhan dan sebarang keputusan dasar berkaitan aktiviti perlombongan di HSK hanya akan dipertimbangkan selepas kajian FRIM itu dimuktamadkan.
-- BERNAMA