KANGAR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) optimis Kampung Santan Selatan di sini akan menjadi contoh bagi pembangunan komuniti yang inklusif dan sejahtera khususnya di Perlis menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI KKM.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad berkata sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program itu hingga Disember tahun ini yang akan digunakan bagi menyelesaikan isu sedia ada di bawah Santuni MADANI dan isu baharu yang dikenal pasti di kampung berkenaan.
Beliau berkata terdapat lima isu setempat dikemukakan penduduk kampung itu melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) iaitu Klinik Desa Santan yang uzur, masalah aliran air longkang perlahan, lorong jalan rosak di Lorong Kampung Aur dan Lorong Asam Enam, isu pengurusan sampah dan bantuan bagi asnaf miskin.
"Semua isu yang telah disebutkan sedang diselesaikan secara libat urus bersama-sama agensi kerajaan di Perlis iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN)," katanya ketika berucap merasmikan program kampung angkat itu di kampung berkenaan di sini hari ini.
Mengenai Klinik Desa Santan yang uzur itu, Suriani berkata JKN Perlis sedang dalam proses membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur klinik desa itu bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan dijangkakan ia dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada November nanti.
"Berkenaan isu jalan yang rosak di Lorong Kampung Aur dan Lorong Asam Enam, saya dimaklumkan kerja-kerja penurapan sepanjang 443 meter di Lorong Asam Enam dan 406 meter di Lorong Kampung Aur telah selesai. Bagi pihak KKM, saya mengucapkan terima kasih kepada ICU Perlis yang telah menyelesaikan isu ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Santan terpilih untuk Program Sekolah Angkat MADANI yang merupakan inisiatif kerajaan memperkasakan pendidikan luar bandar secara holistik meliputi lima bidang utama iaitu infrastruktur, akademik, pembangunan guru, bantuan kewangan serta sahsiah dan kemahiran pelajar.
"Peruntukan RM100,000 telah diluluskan bagi pelaksanaan program di SK Santan. Dana ini akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan sekolah dan menyokong inisiatif yang dapat meningkatkan pencapaian akademik serta potensi diri murid. Kita berharap sekolah ini menjadi pusat ilmu dan tempat membina sahsiah serta kepimpinan generasi masa depan," katanya.
Suriani berkata dengan semangat MADANI, sebuah perjalanan bersama dimulakan yang akan mengangkat potensi kampung dan merapatkan jurang antara pemimpin, agensi kerajaan serta masyarakat sekali gus menjadi permulaan kepada usaha membina komuniti lebih maju dan berdaya saing.
Pada majlis perasmian itu, sebanyak 125 penduduk kampung yang berdaftar di bawah sistem eKasih menerima manfaat Baucar Sentuhan Kasih MADANI bernilai RM100 seorang yang boleh digunakan mereka untuk pembelian barangan keperluan.
-- BERNAMA