KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedang menjalankan kajian terhadap Kajian Separuh Penggal Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan.
Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata NAP2020 digubal untuk tempoh 10 tahun, namun perubahan pesat dalam industri menuntut penilaian semula agar dasar itu selari dengan perkembangan semasa termasuk Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
“Kajian ini melibatkan sesi libat urus secara mendalam dengan pemain industri, pembuat dasar, dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar ini sejajar dengan keperluan pasaran semasa dan perkembangan teknologi global,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH–Balik Pulau) yang mencadangkan supaya dasar automotif negara dikaji semula agar selaras dengan perkembangan kenderaan elektrik (EV).
Selain itu, Liew berkata bagi memperkukuh hala tuju industri, MITI turut menubuhkan Council of Automotive Eminent Persons (CAEP) pada Jun lepas.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan pergantungan kepada petrol sebagai bahan bakar utama sektor automotif negara sekali gus mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport minyak.
“Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada pengeluaran komponen semikonduktor dalam sektor automotif bagi meningkatkan eksport, khususnya komponen automotif,” katanya.
Kajian yang dihasilkan melalui CAEP akan dibentangkan kepada MITI dan seterusnya Jemaah Menteri sebagai syor strategik bagi memuktamadkan Kajian Separuh Penggal NAP2020.
“Dasar yang dikemas kini akan menjadi pelan induk bagi masa depan automotif Malaysia agar selari dengan tren global seperti penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV), mobiliti pintar dan automasi,” katanya.
Pada masa yang sama, Liew berkata MITI berhasrat untuk membangunkan industri automotif yang lebih mampan serta industri automotif berasaskan komponen dan semikonduktor yang lebih stabil.
Terdahulu, Dr Siti Mastura Muhammad (PN–Kepala Batas) mengemukakan soalan kepada Liew berhubung dasar automotif negara terkini serta strategi untuk meningkatkan jumlah penjualan kenderaan tempatan dan import dalam negara melalui dasar tersebut.
--BERNAMA