AM

19 PROGRAM IMPAK TINGGI DENGAN PERUNTUKAN RM22.27 JUTA UNTUK MASYARAKAT INDIA TAHUN INI - RAMANAN

18/08/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 19 program berimpak tinggi dalam tiga bidang utama di bawah inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dirangka dengan peruntukan RM22.27 juta bagi tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata tiga bidang utama pembangunan masyarakat itu merangkumi pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial. 

Sehubungan itu, beliau berharap tiada pihak yang cuba memainkan sentimen di dalam dan luar dewan serta di media sosial yang mengatakan bahawa masyarakat India tidak dibela oleh Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI pada hari ini.

“Terbukti bahawa Kerajaan MADANI pada hari ini lebih banyak membela dan menjaga kebajikan masyarakat India berbanding kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya yang bertanggungjawab untuk menjawab soalan dan isu berkaitan dengan hal ehwal masyarakat India dan MITRA pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Ramanan menafikan dakwaan kononnya MITRA gagal membelanjakan peruntukan bagi tahun 2023 dan 2024. Beliau berkata agensi itu telah menggunakan 100 peratus dan 99 peratus daripada peruntukan masing-masing bagi dua tahun tersebut.

Katanya pada tahun 2023, MITRA membelanjakan sepenuhnya RM100 juta melibatkan 221 inisiatif, yang memberi manfaat kepada 134,510 masyarakat India manakala bagi tahun 2024, sebanyak RM98.9 juta telah dibelanjakan melibatkan 13 program, dengan 122,082 masyarakat India merangkumi pelbagai lapisan usia menerima manfaat.

“Setiap tahun, MITRA diberikan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk melaksanakan PPSMI dan pelaksanaan peranan tersebut adalah secara intervensi yang akan memfokuskan kepada bidang keusahawanan dan kerjaya, pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Selain itu, beliau berkata langkah penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelakkan pertindihan peranan dan penggunaan sumber dalam beberapa sektor seperti program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.

Mengulas berhubung RMK13, Ramanan berkata dokumen itu telah menggariskan langkah peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat India melalui pelaksanaan inisiatif dan program berdasarkan Malaysian Indian Blueprint dan Pelan Tindakan Masyarakat India.

“Inisiatif dan strategi yang telah digariskan dalam meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat India adalah meningkatkan kapasiti dan keupayaan melalui pendidikan dan pembangunan bakat, termasuk pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), TVET, serta peluang kerjaya dan menambah baik infrastruktur asas, penyediaan bantuan baik pulih rumah serta akses kepada perumahan.

“Selain itu, ia juga bertujuan memperkukuh aktiviti ekonomi, keusahawanan serta pembangunan sosial, memantapkan tatakelola pengurusan masyarakat India, termasuk pada peringkat komuniti dan memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi memastikan sasaran yang tepat dan keberhasilan maksimum,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan