AM

MOT SEDIA BINCANG DENGAN SINGAPURA PELAKSANAAN E-HAILING RENTAS SEMPADAN

18/08/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) secara dasar bersedia untuk berbincang dengan kerajaan Singapura mengenai pelaksanaan e-hailing rentas sempadan (cross-border e-hailing) antara Johor dan republik itu, kata menteri berkenaan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan kepada bekas Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat namun republik itu belum bersedia untuk membincangkan cadangan tersebut pada ketika itu.

“Perkara ini tidak boleh dilaksanakan sebelah pihak sahaja, ia mesti ada persetujuan kedua-dua belah pihak barulah perkara itu boleh dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh mengenai Op Khas e-Hailing Kenderaan Asing pada 13 Ogos lepas, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan dan menyita empat kenderaan persendirian yang dipandu individu warga Singapura serta masih dalam siasatan JPJ.

“Mengapa ada op khas ini, sebab di peringkat Singapura mereka juga menguatkuasakan (undang-undang) kenderaan persendirian dari Malaysia khususnya Johor Bahru yang masuk ke Singapura ditahan dan dikatakan bahawa mereka mengamalkan satu perkhidmatan secara tidak sah ataupun perkhidmatan e-hailing dan sebagainya.

“Jadi, kita pun mengambil pendekatan yang sama menguatkuasakan undang-undang kita sebagai pendekatan timbal balik (reciprocal approach) terhadap apa yang dilaksanakan di peringkat Singapura tetapi kita harap ada satu solusi ataupun penyelesaian jangka panjang lebih baik supaya ketersambungan rentas sempadan ini dapat ditambah baik,” katanya.

Bagi menangani isu kesesakan lalu lintas rentas sempadan antara Johor dan Singapura, Loke berkata kerajaan Persekutuan antaranya sedang menaik taraf rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar supaya aliran trafik lebih efisien. 

Dalam masa sama, beliau berkata MOT bersama kerajaan Johor telah mengumumkan inisiatif peluasan Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) sebagai penyelesaian jangka sederhana. 

“Kerajaan Johor juga telah mengenal pasti 13 laluan bas dari JB Sentral ke tempat-tempat strategik untuk kemudahan penumpang. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan rangkaian bas perantara yang lebih cekap dan menghubung kawasan perumahan dan komersial ke stesen RTS Bukit Chagar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata MOT menerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang merancang memperkenalkan perkhidmatan Komuter Selatan bertujuan bagi melengkapkan perkhidmatan rel di Selatan Semenanjung Malaysia.

Katanya perkhidmatan itu akan menyediakan akses mobiliti yang lebih cepat, selesa dan kos efektif untuk perjalanan harian rakyat, selain dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah melalui peningkatan keterhubungan dalam wilayah serta mengurangkan kesesakan jalan raya dengan menawarkan alternatif yang lebih mampan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.

Berhubung cadangan pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) ke Langkawi, Loke berkata perkara itu tidak dipertimbangkan MOT memandangkan ia boleh memakan kos yang sangat tinggi.

Bagaimanapun katanya MOT mempunyai pelbagai cadangan lain untuk menambah baik kesalinghubungan pengangkutan awam antara Kuala Kedah serta Kuala Perlis ke Langkawi, termasuk meneroka penggunaan bot atau feri yang lebih moden dan sesuai.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan