AM

PERTANDINGAN DART BAWA KELAINAN KEPADA SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

19/08/2025 11:55 AM

Oleh Anasathia Jenis

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) -- Sejak sembilan tahun lepas, Kelab Dart War’s 15 Petrajaya berjaya menampilkan kelainan dalam sambutan Bulan Kebangsaan dengan menganjurkan pertandingan dart yang kini menjadi acara dinanti-nantikan peminat sukan itu di Sarawak.

Pengerusi Kelab Dart War’s 15 Petrajaya Ahmad Tarmizi Hamdi, 47, pertandingan itu bermula pada 2017 dan konsisten dianjurkan setiap Ogos sempena Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata acara itu diperkenalkan bagi memberi kelainan dalam sambutan sekali gus menarik minat generasi muda dan tua untuk bersama-sama meraikan hari penuh bersejarah itu.

“Menerusi pertandingan dart yang lebih santai, namun tetap menyemarakkan semangat patriotik, ia juga menjadi medium untuk memupuk perpaduan berbanding acara konvensional sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui Bernama pada perlawanan akhir Merdeka Double Dart Challenge 2025 di Kuching baru-baru ini yang menghimpunkan lebih 150 peserta.

Pada awal penganjuran, pertandingan itu hanya melibatkan kelab dan komuniti kecil sebelum berkembang dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penganjurannya juga mendapat kerjasama aktif kelab sukan dari Kuching serta kawasan seperti Sibu, Mukah dan Miri yang membantu dari segi promosi dan logistik.

Menariknya, edisi kali ini menyaksikan penyertaan peserta berusia seawal 12 hingga 78 tahun, membuktikan sukan dart mampu merapatkan jurang generasi.

Selain sebagai simbol sambutan Hari Kebangsaan, Ahmad Tarmizi berkata pertandingan itu turut memperluas pengaruh sukan dart ke daerah lain.

“Hadiah dan yuran penyertaan juga disesuaikan bagi menggalakkan lebih ramai peserta. Ini membuktikan komitmen kami untuk memartabatkan dart sebagai sebahagian sambutan Hari Kebangsaan yang inklusif dan meriah,” katanya.

Antara peserta paling berusia ialah Jaafar Bujang, 78, pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari Balingian, Mukah yang masih aktif dalam sukan dart.

“Dart bantu saya mengekalkan fokus, menguatkan minda dan paling penting menjaga kesihatan,” katanya sambil menyifatkan sukan itu ruang sosial positif bagi warga emas.

Sementara itu, peserta termuda, Firash Zafran Majid, 12, berkata dia teruja dapat menyertai pertandingan yang ditunggu sejak mula berkecimpung dalam sukan berkenaan.

“Memang dari awal saya tunggu pertandingan ini sebab sangat minat dengan dart. Seronok juga hendak tengok sejauh mana skil saya telah ditingkatkan,” katanya.

Dalam pertandingan itu, Team X 11 muncul juara kategori Beregu Emas dan membawa pulang hadiah RM2,000 berserta trofi, diikuti War’s 15 Super Redz (RM1,000) manakala tempat ketiga dimenangi Team X III serta Peonix Kingz (RM500).

Kategori Beregu Perak dimenangi 13 Dart Madshot (RM200), naib juara KSDS ASZMIEY (RM100) manakala tempat ketiga PDRM dan KTU Darters B (RM50).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan