AM

STAR TELITI, PASTIKAN PELABURAN DALAM AI TINGKAT KECEKAPAN KERAJAAN

19/08/2025 12:43 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) sedang meneliti secara menyeluruh penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelaburan dalam teknologi itu benar-benar menyumbang kepada kecekapan pentadbiran dan penyampaian kerajaan.

STAR dalam kenyataan hari ini berkata analisis mengenai “AI Productivity Paradox” dibentangkan pada mesyuarat terbaharunya, yang menunjukkan walaupun teknologi AI mampu menjimatkan masa, ia masih belum diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti negara.

Mesyuarat STAR Bilangan 7 Tahun 2025 yang berlangsung semalam dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ia antara lain membincangkan status pelaksanaan projek-projek STAR, menilai isu berkaitan kecekapan pentadbiran serta mempertimbangkan beberapa inisiatif strategik melibatkan pengoperasian kuarters kerajaan, keselamatan sempadan, gangguan sistem imigresen dan cabaran teknologi dalam pentadbiran awam.

Mesyuarat itu turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti perkhidmatan awam, khususnya di pintu masuk negara, seiring usaha kerajaan memastikan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

STAR berkata pihaknya juga akan terus meneliti faktor yang mempengaruhi keberkesanan penyampaian di lapangan serta menambah baik prosedur operasi dan sistem sokongan agar selaras dengan piawaian antarabangsa.

Selain itu, tiga kementerian menerima sijil penghargaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diiktiraf melalui pendigitalan kursus bidang kerja sosial dengan penjimatan kos pematuhan RM150,000 setahun, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya memendekkan tempoh proses rayuan kemasukan ke Kolej Matrikulasi daripada 12 kepada lima hari bekerja, dengan penjimatan kos RM7.5 juta setahun.

Kementerian Perladangan dan Komoditi pula meningkatkan kualiti perkhidmatan pelesenan dan permit Lembaga Getah Malaysia, yang menyaksikan pengurangan kos pematuhan sebanyak 68 peratus dengan penjimatan RM11.4 juta setahun.

STAR yang diselaraskan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, dengan kerjasama Unit Pantau MADANI dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, akan terus memainkan peranan strategik dalam memacu penyampaian dasar serta penyelesaian isu rentas kementerian dan agensi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan