AM

KPKT SASAR PERUNTUKAN TAMBAHAN RM1 BILION TINGKAT USAHA PEMBERSIHAN AWAM - NGA

19/08/2025 03:12 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peruntukan tambahan lebih RM1 bilion bagi memperhebat usaha pembersihan awam, susulan persetujuan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menerima pakai Akta 672.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan tambahan itu akan membolehkan pelaksanaan beberapa reformasi termasuk sasaran 20 peratus daripada kenderaan pembersihan awam beralih kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2027.

“Ini selaras dengan dasar dekarbonisasi negara menuju ke arah ekonomi sifar karbon. KPKT juga akan memperkenalkan inisiatif pembersihan awam pada waktu malam serta program pembersihan mendalam di kawasan tumpuan pelancongan supaya bebas daripada habuk dan sampah,” katanya.

Nga berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2026 Bersama Pemegang Taruh KPKT di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk M Noor Azman Taib.

Nga berkata sesi berkenaan yang dihadiri lebih 300 pemegang taruh menerima hampir 55 cadangan dan pandangan daripada 30 wakil persatuan, badan profesional serta pertubuhan masyarakat termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Home Buyers Association, pasukan bomba sukarela dan Rukun Tetangga.

“Kita akan rumuskan segala input yang diterima untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Sept ini bagi memastikan Belanjawan 2026 terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Nga berkata KPKT akan mengemukakan lebih 10 inisiatif baharu di bawah Belanjawan 2026, termasuk menumpukan kepada projek prasarana awam dengan sasaran 10,000 projek kemudahan awam dilaksanakan tahun depan.

“Berdasarkan rekod cemerlang, pada tahun lepas kita berjaya menyempurnakan 6,611 projek termasuk taman, pasar, medan selera, pusat penjaja dan tandas awam. Justeru, kita sasarkan peruntukan BP1 ditingkatkan sekali ganda kepada tidak kurang RM500 juta,” katanya.

Selain itu, KPKT juga akan mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya melaksanakan Kempen Pemilikan Rumah MADANI (MADANI Home Ownership Programme) bagi merancakkan sektor hartanah dan memperkukuh lebih 200 industri berkaitan.

“Kempen ini akan memastikan setiap anak Malaysia berpeluang memiliki rumah kediaman idaman mereka,” katanya.

Belanjawan 2026 yang dijangka dibentangkan pada 10 Okt ini di Parlimen, akan  berteraskan tiga prinsip utama iaitu menaikkan siling potensi ekonomi negara melalui pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi.

Selain itu, ia turut menekankan usaha menaikkan lantai taraf hidup rakyat melalui pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial di samping memacu pembaharuan serta tadbir urus yang baik bagi memastikan perkhidmatan awam yang moden, berintegriti dan cekap.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan