PETALING JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menjalankan kajian daya maju tenaga nuklear, termasuk reaktor modular kecil (SMR) untuk menilai potensinya sebagai sumber kuasa beban asas yang stabil, kata Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kajian itu akan memberi tumpuan di kawasan yang penggunaan tenaga boleh baharu berdepan cabaran unik, khususnya di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
"Kajian ini akan menilai dengan teliti strategi pengurusan sisa untuk memastikan tenaga nuklear disepadukan secara bertanggungjawab ke dalam ekosistem tenaga lestari Malaysia," katanya menerusi ucaptama beliau pada Persidangan Binaan Hijau Antarabangsa ke-5 (IGBC 2025), hari ini.
Menurut Fadillah, kajian kebolehlaksanaan itu juga akan memfokuskan kepada keperluan kawal selia, termasuk untuk meminda undang-undang sedia ada dan peraturan berkaitan serta pembangunan modal insan.
"Kami juga bekerjasama untuk memastikan pembangunan modal insan akan menjadi salah satu bidang yang akan kami beri tumpuan, bukan sahaja dari segi teknologi tetapi juga daripada perspektif penguatkuasaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata kementeriannya telah menerima maklum balas positif daripada orang ramai dan pemain industri mengenai potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada sumber tenaga boleh baharu.
"Tetapi proses itu, seperti yang anda ketahui, memerlukan kami untuk meratifikasi 18 perjanjian dan perjanjian antarabangsa, salah satunya adalah Perjanjian 123 (Perjanjian bagi Kerjasama Nuklear Aman) dengan Amerika Syarikat.
“Hanya selepas itu barulah kita boleh membuat keputusan muktamad sama ada nuklear akan menjadi sebahagian daripada campuran tenaga kita pada masa depan," katanya.
Sementara itu Fadillah berkata PETRA akan melancarkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional 2026–2035 (NEEAP 2.0) pada akhir tahun ini.
Beliau berkata strategi komprehensif itu akan merancang dengan teliti inisiatif merentas semua sektor untuk memacu penjimatan tenaga,merangkumi langkah-langkah tenaga elektrik dan haba.
-- BERNAMA